APMM temui 40 bungkus daun ketum terapung di perairan Pantai Leman

Hasil pemeriksaan mendapati 40 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 400 kilogram. - Foto APMM
ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menemui 40 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum yang terapung di perairan berhampiran Pantai Leman, awal pagi Isnin.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, penemuan itu dibuat oleh anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan rondaan rutin menerusi Operasi Aman dan Operasi Guard sekitar jam 2.22 pagi, selepas mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan operasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati 40 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 400 kilogram,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, daun ketum tersebut dibungkus rapi dan dipercayai dibuang ke laut selepas penyeludup menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Pihak APMM percaya daun ketum itu cuba diseludup ke negara jiran.
Kesemua bungkusan yang dianggarkan bernilai RM60,000 telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara jiran masih berlaku, namun tidak seaktif sebelum ini.
"Ini berikutan negara jiran telah membenarkan penanaman pokok ketum, namun permintaan terhadap daun ketum dari Malaysia masih tinggi kerana kualitinya yang lebih baik,” tambah beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


