Itulah realiti sekarang apabila ramai terus terperdaya dengan penampilan luaran individu yang mempromosikan pakej haji murah, tanpa menyemak latar belakang sebenar.
Pengarah Strategik dan Pengarah Operasi Haji MKM Ticketing Travel and Tour Sdn Bhd, Dr Abdul Hadi Abdul Rahman, berkata, rakyat Malaysia sering kali mudah terperdaya dengan tawaran harga murah yang disangkakan sebagai rezeki tanpa menyedari ia mungkin satu perangkap.
Menurutnya, masyarakat sering kali melihat harga sebagai keutamaan tanpa menyedari risiko besar di sebaliknya.
"Kalau orang lain bayar RM50,000 atau RM60,000 untuk tunaikan haji, ada pula yang boleh pergi hanya RM30,000 dan proses itu selesai dalam masa yang singkat. Itu sebenarnya satu petanda yang mencurigakan," katanya dalam Agenda AWANI di sini, pada Isnin.
Namun Abdul Hadi berkata, ada yang terus terima dan anggap itu sebagai 'rezeki', tanpa menyedari ia mungkin satu musibah yang menanti di hadapan.
"Ini antara perkara yang perlu kita lihat dengan serius. Ramai masih memilih pakej murah hanya kerana ia disampaikan oleh orang yang mereka percayai, yang nampak seperti alim, bersopan, memakai kopiah dan jubah," katanya.
"Apa yang lebih membimbangkan, ikon atau duta kepada syarikat-syarikat ini sering kali terdiri daripada individu yang berpakaian seolah-olah berimej agama, lalu mudah meyakinkan orang awam yang kurang berpengetahuan tentang prosedur rasmi ibadah haji.
“Masyarakat lebih percaya kepada penampilan berbanding fakta. Hanya kerana seseorang berpakaian sopan dan petah berbicara soal agama, tak bermakna mereka jujur," katanya lagi.
Justeru beliau menyeru bakal jemaah supaya lebih berhati-hati dalam memilih pakej haji dan hanya mempercayai syarikat berdaftar di bawah Lembaga Tabung Haji serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
"Jangan kerana ingin cepat, ingin murah, akhirnya wang hangus dan ibadah haji tidak kesampaian," jelasnya.
