KUALA LUMPUR: Pakej khas telekomunikasi dengan diskaun istimewa bagi pekerja e-hailing dan p-hailing akan diumumkan esok, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata hasil perbincangan bersama ketua-ketua pegawai eksekutif semua syarikat telekomunikasi hari ini mencapai kata putus untuk menyediakan pakej khas telekomunikasi kepada golongan berkenaan.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI mendengar keluhan kumpulan pekerja itu dan berharap usaha yang dilakukan kerajaan dapat meringankan kesulitan serta membantu mereka dalam menjalankan tugas setiap hari.

"Kerajaan memahami kesusahan abang-abang rider (penghantar) kita yang bertungkus lumus menghantar makanan dan bungkusan untuk semua, lebih-lebih lagi di bawah terik matahari dan hujan lebat.

"Ini adalah satu kemenangan kecil buat semua pekerja dalam industri p-hailing (dan e-hailing). Terima kasih riders kerana telah berkhidmat untuk kami semua selama ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam hantaran sama, Fahmi turut berkongsi kisah dan luahan seorang penghantar makanan Foodpanda yang juga sorang bapa kepada dua orang anak berhubung cabaran dihadapi petugas sektor itu.

Menurut Fahmi, lelaki itu hanya meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan dengan isterinya tidak bekerja dan jumlah pendapatan itu tidak cukup bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Lebih menyedihkan lagi, dah dua bulan beliau tak mampu bayar bil telefon. Ada masa terpaksa pinjam RM200 duit member (kawan) semata-mata nak bayar bil, memandangkan kegunaan telefon adalah keperluan paling penting bagi seorang rider.

"Sebagai seorang ayah, saya cukup faham akan cabaran dihadapinya. Sedar tak sedar dah bersembang hampir 40 minit, tercetus idea untuk melakukan sesuatu (perkenal pakej internet khas) bagi membantu komuniti riders kita," katanya.

-- BERNAMA