Skip to main content

Hiburan

Tarung: Unforgiven papar konflik dalaman di sebalik aksi

KUALA LUMPUR, 6 Mei -- Pengarah filem Razaisyam Rashid (tengah) bersama pelakon dan penerbit Aedy Ashraf (kiri) dan Amir Ahnaf (kanan) bergambar selepas menjadi tetamu jemputan dalam Program Fokus 30 topik Tarung Unforgiven di Bernama Radio semalam.  Menjelang tayangan di pawagam esok, filem Tarung: Unforgiven tampil bukan sekadar sebagai naskhah aksi, sebaliknya mengangkat konflik dalaman berkaitan ego, kesilapan lalu dan keupayaan memaafkan sebagai teras penceritaan.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPE
Pengarah filem Razaisyam Rashid (tengah) bersama pelakon dan penerbit Aedy Ashraf (kiri) dan Amir Ahnaf (kanan) bergambar selepas menjadi tetamu jemputan di Bernama Radio pada Selasa. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR: Bakal menjengah pawagam esok, filem Tarung: Unforgiven menjanjikan pengalaman berbeza untuk peminat filem aksi kerana naskhah itu tidak hanya menampilkan babak bertarung.

Sebaliknya, kata pelakon dan juga penerbit filem itu, Aedy Ashraf, naskhah tersebut mengetengahkan konflik dalaman berkaitan ego dan kemampuan memaafkan sebagai teras cerita.

Advertisement

“Pertarungan paling susah sebenarnya adalah pertarungan dalaman, emosi kita sendiri. Secara fizikal semua orang boleh berlawan, tetapi apa yang berlaku dalam diri itu yang lebih berat dan bermakna.

“Setiap orang pernah melakukan kesilapan. Ada yang menganggapnya kecil, tetapi apabila melibatkan orang yang kita sayang, untuk meminta maaf itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya ketika ditemui selepas program Fokus 30 terbitan Bernama Radio di sini.

Aktor berusia 33 tahun dengan nama sebenar Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, itu juga mengakui berdebar menjelang tayangan filem itu esok, dengan penerimaan penonton menjadi penentu utama terhadap hasil kerja sulungnya selaku penerbit.

Berkongsi cabaran dalam pembikinan filem itu, beliau berkata memainkan dua peranan, iaitu penerbit dan juga pelakon utama filem, memberikan satu pengalaman berbeza kepadanya kerana perlu mengimbangi tanggungjawab di belakang tabir dan pada masa sama menjayakan watak.

Menurutnya, filem itu dibiayai dengan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia dan rakan industri selain modal sendiri.

Sementara itu, pengarah Razaisyam Rashid pula berkata filem tersebut dibuat dengan pendekatan penceritaan yang lebih ringkas dan mudah difahami agar penonton dapat menghayati emosi serta perjalanan setiap watak, selari dengan mesej utama yang menekankan konflik dalaman dan perjuangan emosi.

“Pada akhirnya, kita sebenarnya berlawan dengan diri sendiri dan perlu berdamai dengan segala trauma yang pernah kita hadapi. Setiap manusia ada pertarungan masing-masing, dan itulah yang cuba kami tonjolkan dalam filem ini,” katanya.

Selain Aedy Ashraf, filem terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu turut menampilkan barisan pelakon hebat lain, antaranya Zul Ariffin, Bront Palarae, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah dan Amir Ahnaf.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video