Skip to main content

Dunia

Pakistan isytihar darurat di wilayah Khyber Pakhtunkhwa

Presiden Asif Ali Zardari menandatangani perakuan yang dikemukakan Perdana Menteri Shehbaz Sharif berdasarkan Perkara 232 dan 234 Perlembagaan Pakistan. - Gambar fail
Presiden Asif Ali Zardari menandatangani perakuan yang dikemukakan Perdana Menteri Shehbaz Sharif berdasarkan Perkara 232 dan 234 Perlembagaan Pakistan. - Gambar fail

Advertisement

ISTANBUL: Presiden Pakistan Asif Ali Zardari pada Ahad menandatangani perakuan bagi mengisytiharkan darurat di wilayah Khyber Pakhtunkhwa atas alasan situasi keselamatan, lapor Anadolu Ajansi.

Kenyataan pejabat Zardari menerusi platform media sosial X memaklumkan bahawa Presiden menandatangani perakuan yang dikemukakan Perdana Menteri Shehbaz Sharif berdasarkan Perkara 232 dan 234 Perlembagaan Pakistan.

Keputusan itu dibuat susulan nasihat Kabinet Persekutuan dan Perdana Menteri, laporan daripada institusi berkaitan mengenai situasi ketenteraman awam serta “kegagalan rundingan” dengan delegasi kerajaan, menurut kenyataan itu.

Kuasa yang sebelum ini dijalankan oleh Ketua Menteri dipindahkan kepada gabenor, menurut Menteri Undang-undang dan Keadilan Azam Nazeer Tarar, lapor Radio Pakistan.

Tarar berkata sebuah majlis penasihat yang dianggotai 11 orang dibentuk untuk beroperasi di bawah gabenor dan menyelia urusan pentadbiran kerajaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebuah sekretariat berasingan ditubuhkan di bawah Gabenor dan Ketua Setiausaha bagi mentadbir urusan di 12 daerah Khyber Pakhtunkhwa yang akan diletakkan secara langsung di bawah kerajaan persekutuan.

Menurut akhbar tempatan Dawn, kerajaan persekutuan melantik Muhammad Fakhr Alam Irfan sebagai Ketua Setiausaha wilayah itu. Pelantikan beliau berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan.

Tarar turut berkata kerajaan persekutuan mengarahkan penempatan anggota tentera Pakistan bagi membantu Gabenor Khyber Pakhtunkhwa dalam “mengekalkan ketenteraman awam” berdasarkan Perkara 245 Perlembagaan.

Langkah itu diambil ketika penyokong parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan bekas Perdana Menteri Imran Khan yang dipenjarakan, berarak di Khyber Pakhtunkhwa bagi menuntut pembebasannya.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement