Ringkasan AI
- Hari ini genap 38 tahun pengisytiharan Negara Palestin oleh Yasser Arafat di Algiers pada 15 November 1988.
- Pengisytiharan tersebut menandakan penerimaan rasmi penyelesaian dua negara oleh PLO dan membuka jalan kepada pengiktirafan antarabangsa.
- Beberapa resolusi PBB menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, kemerdekaan dan kedaulatan negara mereka.
RAMALLAH: Hari ini menandakan ulang tahun ke-38 pengisytiharan Negara Palestin yang diumumkan oleh pemimpin Palestin Allahyarham Yasser Arafat di Algiers pada 15 Nov 1988, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
“Dengan nama Allah dan atas nama rakyat Arab Palestin, Majlis Kebangsaan mengisytiharkan penubuhan Negara Palestin di tanah air Palestin, dengan Baitulmuqaddis yang mulia sebagai ibu negaranya,” umum Arafat ketika mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin (PNC), iaitu Parlimen dalam buangan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), yang diadakan di ibu negara Algeria itu.
Pengisytiharan Kemerdekaan Palestin yang dibacakan oleh Arafat ditulis oleh penyair terkenal Palestin Mahmoud Darwish.
Pengisytiharan itu sebelum ini telah diluluskan oleh PNC, badan perundangan PLO, dengan 253 undi menyokong, 46 menentang dan 10 berkecuali.
Pada April 1989, Majlis Pusat PLO memilih Arafat sebagai Presiden pertama Negara Palestin.
Pengisytiharan itu menandakan titik perubahan dalam sejarah gerakan pembebasan kebangsaan Palestin apabila PLO secara rasmi menerima penyelesaian dua negara sebagai kerangka untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan selama beberapa dekad.
Ia juga membuka jalan kepada pengiktirafan meluas terhadap Negara Palestin oleh negara-negara Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa.
Hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan membentuk negara telah ditegaskan menerusi beberapa resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Resolusi 3236 mengiktiraf hak berkenaan sebagai hak yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk mencapai kemerdekaan dan kedaulatan.
Resolusi 2649 turut menegaskan semula hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, manakala Resolusi 2672 menekankan bahawa penghormatan terhadap hak mereka yang tidak boleh dinafikan adalah penting bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan di Asia Barat.
-- BERNAMA-WAFA