IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menambah pam air serta kolam tadahan, khusus untuk menangani isu banjir kilat yang kerap berlaku di bandar raya ini.

Difahamkan banjir kilat itu bukan sahaja menenggelamkan beberapa kawasan jalan di Ipoh tetapi turut menyebabkan kesesakan trafik luar biasa sehingga berjam-jam lamanya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata antara lokasi utama yang sudah dikenal pasti ialah di aliran Sungai Pinji.

"Yang ini (masalah kerap banjir kilat di Ipoh) kita sedang bincang dengan JKR dan JPS untuk melihat kaedah terbaik. Mungkin kita perlu lebih kolam tadahan, tidak semestinya hanya lebarkan longkang.

"Dulu kita buat di Sungai Pari sekarang di aliran Sungai Pinji, termasuk dalam kawasan Taman Cempaka dan sebagainya.

"Untuk jangka pendek kita mungkin terpaksa tambah pam air dan untuk jangka sederhana mungkin perlu buka kolam tadahan baharu," katanya.

Rumaizi berkata demikian kepada pemberita semasa hadir Program Ramadan Cheers yang dianjurkan oleh Theta Edge Berhad dengan kerjasama MBI serta pihak berkuasa tempatan (PBT) lain, di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Berhad, Nuraslina Zainal Abidin.

Dalam pada itu, beliau menambah hujan luar biasa di beberapa kawasan termasuk Ipoh baru-baru ini merupakan antara faktor mengapa banjir kilat kerap berlaku.

"Memang kita sedang buat kajian saliran untuk bandar raya Ipoh, sebenarnya dari tahun lepas lagi tetapi mungkin kerana hujan lebih kuat (tahun ini).

"Kalau perasan kita banyak tambah baik saliran tahun lepas, tetapi didapati ia tidak mencukupi (tampung taburan hujan). Bila kata banjir kilat bukan hanya longkang atau parit, tetapi turut melibatkan sungai.

"Isu di Ipoh, bila banjir kilat dan paras air sungai tinggi, maka air longkang tidak dapat masuk ke sungai sebab air itu ditendang balik... bila rendah (paras air) barulah aliran itu dapat masuk," katanya lagi.

Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktrur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa kawasan yang terdedah dengan risiko banjir kilat khususnya di pusat bandar yang memerlukan penggantian atau penambahbaikan sistem perparitan.

Mohd Zolkafly berkata bagi tujuan tersebut, satu mesyuarat segera akan diadakan dengan pihak terlibat termasuk MBI.

Sebelum ini ramai penduduk Ipoh yang melahirkan rasa kecewa dan mengeluh dengan situasi jalan utama seperti di Jalan Persekutuan-Jalan Tambun dan Jalan Persekutuan-Jalan Kuala Kangsar yang kerap ditenggelami air sehingga menyebabkan kesesakan trafik luar biasa.