MALAYSIA
Pameran halal terbesar dunia MIHAS 2025 dibuka esok

MIHAS 2025 akan berlangsung di MITEC dari 17 hingga 20 Sept, dengan penyertaan 45,000 pelawat dan 2,400 gerai dari 80 negara, dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 19 Sept.
KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 edisi ke-21 (MIHAS 2025) akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, bermula 17 Sept hingga 20 Sept ini.
Ringkasan AI
- MIHAS 2025 akan berlangsung di MITEC dari 17 hingga 20 Sept, dengan penyertaan 45,000 pelawat dan 2,400 gerai dari 80 negara, dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 19 Sept.
- Pameran bertemakan Mercu Keunggulan Halal ini menampilkan segmen seperti makanan halal, farmaseutikal, kewangan Islam, pelancongan mesra Muslim dan kosmetik.
- MATRADE akan memperluaskan MIHAS ke Shanghai pada November sempena CIIE, membuka peluang eksport halal ke pasaran China yang pesat berkembang.
MATRADE berkata berkata acara empat hari itu akan menyediakan kepada perniagaan global, penggubal dasar dan pemimpin industri peluang janji niaga, dialog dan kerjasama melalui pelbagai komponennya, termasuk pameran, misi pembelian khusus (INSP), seminar Hab Pengetahuan dan majlis anugerah.
MIHAS tahun ini bakal menyediakan ruang pameran yang disusun rapi mengetengahkan segmen makanan dan minuman halal, farmaseutikal, peranti perubatan, kewangan Islam, fesyen dan produk gaya hidup, penjagaan diri, kosmetik dan pelancongan mesra Muslim.
"MIHAS 2025 berfungsi sebagai komponen perdagangan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) yang memperlihatkan komitmen Malaysia untuk memajukan piawaian, inovasi dan perkongsian transnasional ketika sektor halal semakin berkembang," katanya.
MATRADE berkata susulan kejayaan MIHAS di Dubai pada 2024, agensi itu akan memperkenalkan MIHAS@Shanghai tahun ini yang bakal diadakan dari 5 Nov hingga 10 Nov, bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE).
"Perusahaan Malaysia akan mendapat manfaat daripada platform khusus untuk membawa produk dan perkhidmatan mereka ke China, salah satu pasaran pengguna halal terbesar dan paling pesat berkembang di dunia.
"Melalui perkongsian yang bertanggungjawab dan kerjasama dua hala, seperti memorandum persefahaman (MOU) antara MATRADE dan Biro CIIE, MIHAS@Shanghai membolehkan syarikat yang mengambil bahagian mengukuhkan daya saing global mereka dan membina hubungan perniagaan mampan dengan pembeli di seluruh Asia Timur dan rantau yang lebih luas," katanya.
Pada 2024, MIHAS mencatat penanda aras baharu apabila merekodkan jualan sebanyak RM4.3 bilion.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami