KUALA LUMPUR: Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) edisi ke-59 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini dari 4 hingga 6 Sept dijangka menarik kira-kira 180,000 pengunjung, didorong minat yang tinggi terhadap tawaran pelancongan domestik dan antarabangsa.
Presiden MATTA Nigel Wong berkata jumlah pengunjung pada tahun ini dijangka kekal tinggi seperti direkodkan pada edisi terdahulu, dengan respons menggalakkan ditunjukkan terhadap pelancongan domestik.
“Kami menjangkakan jumlah pengunjung antara 150,000 hingga 180,000 orang dan angka itu berkemungkinan boleh meningkat,” katanya pada sidang media mengenai pameran itu di sini hari ini.
Wong berkata pengunjung yang berminat dengan pakej pelancongan dalam negara akan mempunyai lebih banyak pilihan tahun ini, dengan ruang pameran di dewan domestik habis ditempah, selain terdapat senarai menunggu yang panjang.
Beliau berkata pameran tahun ini akan menampilkan lebih banyak pilihan, termasuk destinasi popular seperti Taiwan, Korea Selatan dan Jepun, selain penyertaan dari Asia Tengah, antaranya Uzbekistan dan Almaty, Kazakhstan.
“Uzbekistan sangat menarik kerana negara itu memiliki warisan sejarah Islam dengan pelbagai monumen dan tarikan yang terkenal, selain kini lebih mudah untuk dikunjungi,” katanya.
Wong berkata China turut mempunyai penglibatan besar menerusi penyertaan beberapa wilayah yang ditampilkan dalam Pavilion China, selain Guam, Hungary, India, Indonesia, Tanzania, Tokyo, Türkiye dan Filipina.
Bagi meningkatkan penglibatan pengunjung, beliau berkata acara tiga hari itu turut menyaksikan penampilan khas serta aktiviti yang dikendalikan oleh personaliti radio dan selebriti tempatan.
Pameran MATTA kali ini yang memasuki edisi ke-59 akan menggunakan ruang lebih 40,820 meter persegi di 10 dewan pameran dengan menampilkan lebih 2,026 reruai daripada 285 syarikat.
-- BERNAMA