KUALA LUMPUR:Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengambil inisiatif melaksanakan Pameran #MyAPEC2020 secara maya seiring usaha membantu syarikat tempatan menembusi pasaran serantau.

Pengarah Kanan Bahagian Promosi Eksport dan Akses Pasaran (MATRADE), Abu Bakar Koyakutty berkata inisiatif itu dipergiat ekoran wujudnya cabaran perdagangan tatkala pandemik COVID-19 menular.

"Syarikat-syarikat Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk mendapatkan rantaian bekalan yang lebih cepat dan mudah dengan memperoleh produk dan perkhidmatan daripada syarikat-syarikat tempatan.

"Ini membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk membuat penyumberan produk dan perkhidmatan daripada syarikat-syarikat tempatan untuk operasi perniagaan mereka," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.

Menurutnya, pameran secara maya itu turut memberi manfaat kepada pembeli-pembeli asing, dengan menjimatkan perbelanjaan seperti kos perjalanan dan penginapan selain menjimatkan masa.

Pada masa sama, pembeli-pembeli asing boleh melihat produk dan perkhidmatan dari lapan sektor sasaran yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat dari Malaysia dan ekonomi-ekonomi APEC, yang disokong oleh Kerajaan dari ekonomi-ekonomi APEC yang turut menawarkan platform mesyuarat B2B, business pitching (pemula idea perniagaan) dan juga webinar.

Sementara itu, bagi Pengarah Urusan Star Medik, Johari Abu Kasim berkata pameran secara norma baharu itu telah memudahkan syarikatnya akses ke pasaran yang lebih luas.

"Jadi semasa APEC ini, semuanya norma baharu termasuk cara pameran dilaksanakan.

"Walaupun kita tahu ada cabaran-cabaran tertentu, tetapi Alhamdulillah semasa saya membuat membentangan APEC lalu, ada pertanyaan dari sebuah syarikat di New Zealand.

"Malah, New Zealand juga merupakan salah satu negara membangun yang kami rasa agak bagus untuk kami meluaskan prospek perniagaan," katanya.

Pameran MyAPEC 2020 secara maya yang bermula 1 September hingga 31 Disember depan merangkumi empat komponen iaitu pameran secara maya, business pitching, pemadanan perniagaan dan webinar.

Menyasarkan lapan sektor utama, ia kini disertai oleh 249 syarikat-syarikat Malaysia dan 53 syarikat-syarikat daripada 12 ekonomi APEC.