MALAYSIA
Pampasan ECRL tidak setinggi hutang bakal ditanggung - Tun Mahathir

Gambar fail 26 Mac 2018 menunjukkan tapak projek ECRL dalam pembinaan di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. - BERNAMA
Jumlah hutang yang lebih tinggi akan ditanggung kerajaan seandainya melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berbanding pembatalan kontrak bersama China Communications Construction Group Ltd (CCCC) dan membuat pembayaran pampasan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, kenyataan mengenai status sebenar projek ECRL hanya akan dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam masa terdekat.
"Jumlah bayaran pampasan yang besar tidaklah sebesar jumlah hutang yang kita akan tanggung untuk tempoh 30 tahun akan datang," katanya semasa sidang media selepas pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.
Guan Eng sebelum ini terkejut dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pembatalan projek ECRL diterajui CCCC.
Beliau berkata, Mohamed Azmin mungkin tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat Dr Mahathir sewaktu mesyuarat Kabinet pada Khamis lalu.
Sebelum ini, portal berita Straits Times yang berpangkalan di Singapura melaporkan penamatan kontrak itu dilaksanakan susulan kegagalan CCCC mengurangkan kos projek kepada separuh iaitu RM40 bilion berbanding RM81 bilion selain menepati beberapa permintaan kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami