SRI AMAN: Kementerien Kerja Raya (KKR) akan menyelenggarakan semula laluan empat lorong sedia ada atau ‘Red Line’ sepanjang 200 kilometer sebagai sebahagian projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penyelenggaraan itu perlu dibuat bagi memastikan kualiti lebuh raya yang siap akan mengikut standard sama di semua sebelas pakej kontrak kerja (WPC) yang diluluskan.

“Jalan ‘Red Line’ ini lebih kepada penyelenggaraan, ia adalah laluan asal empat lorong, cuma standard jalan ini semasa dibina dahulu tidak menyamai standard ditetapkan di bawah pembinaan baru Lebuhraya Pan Borneo jadi ianya perlu dinaik taraf.

“Naik taraf ini akan diaksanakan selepas peruntukan diluluskan oleh pihak pusat, ini merangkumi lebih kurang 200 kilometer di bahagian Kuching-Serian, Sibu, Bintulu dan Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa meninjau perkembangan projek LPB bagi pakej kontrak kerja (WPC04) di Temudok di sini pada Khamis.

Jelajah siri keempat itu berlangsung selama tiga hari bermula dari Kuching sehingga jalan penghubung Sungai Tangap ke Pujut, Miri (WPC11) pada 11 Jun ini.

Berhubung pembinaan hentian rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Fadillah menjelaskan Kerajaan Pusat dan negeri akan bekerjasama bagi membangunkan lebih banyak hentian itu di lokasi yang strategik.

“Kerajaan Pusat telah meluluskan pembinaan tiga daripada enam kawasan R&R yang kita mohon dalam pakej Pan Borneo Sarawak, tetapi ada juga permohonan daripada kerajaan negeri untuk kita menambah bilangan fasiliti tersebut.

“Pada masa yang sama kita membantu mana-mana pengusaha persendirian yang telah membina R&R di laluan Pan Borneo ini untuk meningkatkan kemudahan yang sedia ada agar lebih selesa dan selamat termasuk jalan keluar dan masuk,” katanya.

Setakat ini, projek LPB Sarawak sejauh 768 kilometer itu telah siap sebanyak 83.04 peratus dengan satu daripada 11 pakej telah siap sepenuhnya iaitu WPC01 laluan Telok Melano ke Sematan sepanjang 32.77 kilometer.