Mana-mana pihak tidak boleh mengaitkan data Panama Papers dengan mana-mana perbuatan jenayah.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kebanyakan individu terlibat dengan perniagaan sebelum menceburi politik.

"Kita tidak tahu sejauh mana kandungan kertas itu walaupun ia mendominasi tajuk utama.

"Jadi, kita akan melihat apa yang berlaku. Secara jelas ia tidak secara automatik mengaitkan sesiapa sahaja di mana-mana jenayah," katanya ketika mengulas isu Panama Papers di lobi Parlimen di sini hari ini.

Panama Papers antara lain menunjukkan rekod transaksi kewangan oleh pemimpin dan bekas pemimpin dunia termasuk di Argentina, Iceland, Arab Saudi dan Rusia.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, isu Panama Papers harus dilihat dari aspek menyeluruh demi ketelusan kepada rakyat.

"Untuk mengenal pasti mereka mempunyai niat untuk mengelak cukai atau apa. Saya tidak tahu, serahkan kepada kerajaan.

"Saya rasa demi ketelusan, tadbir urus yang baik , saya fikir kita perlu mengetahui. Ia bukan satu soalan undang-undang yang tidak sah," katanya.

Ia disokong Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyifatkan siasatan harus dilakukan jika terdapat isu membabitkan kes penggubahan wang haram.

Pada Ahad sebuah kumpulan gabungan media antarabangsa menerbitkan hasil siasatan yang mendedahkan aktiviti kewangan luar pesisir golongan elit dunia.

Organisasi yang digelar Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) itu, mendedahkan 11.5 juta rekod kewangan ahli perniagaan, selebriti, bintang sukan serta pemimpin dunia.

Organisasi yang berpangkalan di Washington itu berkata data diperolehi dari sebuah firma perundangan di Panama, Mossack Fonseca.