Skip to main content

Malaysia

"Pandai mana sekalipun, kita hanya alat sampaikan rahmat Allah" - Dr Muhaya

61450959581_AbdulHalim.jpg
"Pandai mana sekalipun, kita hanya alat sampaikan rahmat Allah," itu kata Profesor Dr Che Muhaya Mohamad apabila ditanya apakah resepi kejayaan beliau selama ini.

Ditemui media selepas menerima Anugerah Maulidur Rasul 1437 Hijrah, Dr Che Muhaya berkata setiap kali beliau merawat pesakit, beliau akan mengambil peluang untuk merawat jiwa pesakit sekaligus merasa syukur atas nikmat Allah SWT atas nikmat kesihatan yang diberikan.

"Alhamdulillah, ini merupakan visi Allahyarham ayah saya. Beliau mengatakan kepada saya supaya bukan untuk menjadi doktor sahaja, tetapi doktor mukminah.

"Jadi saya gunakan ilmu perubatan ini untuk melihat kebesaran ciptaan Allah kepada manusia dan dalam merawat manusia itu, saya merawat jiwa dan juga supaya mereka merasakan syukur atas nikmat kesihatan yang diberikan," katanya kepada pemberita di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Malah, Dr Che Muhaya turut mengingatkan para pesakitnya bahawa doktor hanyalah 'alat' yang menyampaikan rahmat Allah, iaitu ilmu yang dipinjamkan kepadanya.

"...dan setiap kali saya merawat pesakit, selalu saya mengingatkan yang membaikkan mereka adalah Allah SWT. Doktor ini alat sahaja.

"Jadi, sangat penting bagi golongan profesional walau betapa pandai kita macam mana pun, semua (hasil) dengan kuasa Allah...kita hanya alat untuk menyampaikan rahmat Allah kepada makhluknya," jelas Dr Che Muhaya.

Justeru, katanya mempelajari bidang perubatan itu bukan hanya memenuhi bidang tugas sahaja, sebaliknya mempelajari bidang perubatan itu adalah untuk mengenali Allah, mengenal diri sendiri, melihat kekuasaan Allah dan akan lebih dekat pada Allah.

Mengulas kaitan sains dan Islam, Dr Che Muhaya menegaskan kedua-dua aspek itu saling melengkapi.

"Apabila kita belajar tentang sains dan ciptaan Allah, sebenarnya itu ayat-ayat Allah...yang kita lihat di sekeliling kita...dan bidang perubatan sebab kita mengkaji manusia dan seluruh isinya. Apa yang berlaku dalam tubuh manusia itulah kehendak Allah.

"Kalau kita ada sains, lagi dekat kita dengan Allah, lagi kenal Allah, lagi ingat dengan akhirat. Tiada perbezaan antara sains dan Islam, semua seiring," ujar Dr Che Muhaya.

Beliau pada masa sama menegaskan, niat untuk melaksanakan sesuatu tugas itu perlulah dengan redha Allah dan itu resepi kejayaan beliau hingga ke hari ini.

Must Watch Video