KUALA LUMPUR: Rencana ini sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada 31 Mei.

Gilbert (bukan nama sebenar) mula merokok ketika berusia 17 tahun dan pada awal usia 20an, dia dapati tabiat buruk ini sukar untuk ditinggalkan.

Hanya pada usia 35 tahun, dia berjaya melepaskan diri daripada belenggu merokok.

Itu pun ketika berlaku pandemik COVID-19 kerana dia tahu merokok akan hanya meningkatkan rasa cemas dan takut menghadapi komplikasi jika dijangkiti koronavirus maut itu.

"Saya lihat banyak kes orang sihat yang dijangkiti COVID-19 dan berakhir di ICU. Mereka bukan perokok tetapi kes mereka sudah sampai ke tahap empat dan lima.

"Ketika itu saya sedar merokok boleh menjejaskan sistem pernafasan dan sekiranya saya meneruskan tabiat buruk saya, saya akan hanya membahayakan kesihatan saya, daripada seorang yang amat sihat, saya boleh terlantar sakit teruk," beliau memberitahu Bernama.

Kajian yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Institut Kesihatan Negara (NIH), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) ke atas 5,889 kes COVID-19 di seluruh negara dari 1 Februari hingga 31 Mei 2020, mendapati 791 orang daripada jumlah itu adalah perokok.

Hasil penyelidikan itu juga mendapati 19.2 peratus perokok yang dijangkiti COVID-19 berhadapan dengan jangkitan buah pinggang dalam lingkungan tiga tahap iaitu tanpa bantuan pernafasan (112 kes), dengan bantuan pernafasan (35 kes dan kritikal (13 kes).

Menurut Perunding Paru-Paru Pusat Pakar Swasta Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Mohammed Fauzi Abdul Rani, merokok meningkatkan risiko dijangkiti COVID-19 menerusi mulut ketika menghisap rokok atau menggunakan produk tembakau.

"Perokok tembakau seperti rokok, paip air, cerut dan e-rokok mungkin lebih mudah dijangkiti COVID-19 kerana rokok melibatkan sentuhan jari (kemungkinan rokok yang tercemar) dengan bibir, kesemua ini meningkatkan transmisi virus dari tangan ke mulut.

"Menghisap paip air atau shisha atau hookah, lazimnya melibatkan perkongsian hos menyedut yang memudahkan transmisi COVID-19," beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.

Menurut Dr Fauzi, sewaktu merokok, perokok akan mencederakan lapisan saluran udara serta paru-paru dan menyebabkan mereka mudah dijangkiti COVID-19.

"Kesan COVID-19 boleh menjadi teruk untuk mereka yang menggunakan tembakau.

"Sekiranya perokok dijangkiti COVID-19, mereka berhadapan dengan risiko lebih tinggi untuk jangkitan teruk kerana kesihatan paru-paru mereka sudah terjejas kerana merokok.

"Nikotin dilaporkan mempunyai kesan buruk ke atas virus itu tetapi manfaatnya terhapus kerana kecederaan kepada paru-paru akibat merokok," katanya.

Pengarah Perubatan, Pertubuhan Tindakan Wanita Malaysia bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Dr Zarihah Mohd Zain berkata perokok mungkin menghadapi beberapa masalah kesihatan yang serius, termasuk risiko tinggi darah beku dan sistem imun yang lemah.

"Hakikatnya, merokok tidak boleh melindungi perokok daripada jangkitan COVID-19 kerana ia mengurangkan respons imun badan, yang kemudiannya mempercepatkan antibodi lenyap.

"Merokok bukan sahaja meningkatkan risiko kanser tetapi juga meningkatkan risiko banyak penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, strok dan mandul (untuk lelaki).

"Tambahan, akibat menyedut asap, paru-paru juga boleh rosak, boleh menyebabkan penyakit kronik sistem pernafasan (COPD) dan pneumonia, di samping memburukkan penyakit pernafasan, termasuk asma, bronkitis dan selesema," katanya.

Menurut beliau lagi, perokok mendapat gejala teruk apabila dijangkiti COVID-19 dan dalam kebanyakan kes, menghadapi kesan jangka panjang seperti sesak nafas.

Untuk itu, kata beliau, masa ini adalah yang terbaik untuk perokok membuang tabiat buruk merokok bagi mengurangkan kesan jangkitan COVID-19.

Beliau turut menyarankan perokok menyertai program berhenti merokok atau ke klinik di samping mendapatkan sokongan kawan atau anggota keluarga mereka.

"Semasa pandemik, akses untuk mendapatkan rokok terhad akibat Perintah Kawalan Pergerakan kerana operasi kedai yang terhad. Ini boleh membantu perokok membuang tabiat merokok," katanya.

Menurut Dr Fauzi, jika perokok yang positif COVID-19 merokok di tempat awam, orang yang sihat yang menyedut asap rokok yang dihembus keluar oleh perokok berkenaan, berkemungkinan besar dijangkiti.

"Kajian menunjukkan titisan air liur boleh bergerak jauh dan terapung di udara untuk tempoh yang lama dengan asap rokok.

"Jika berada dalam lingkungan perokok yang dijangkiti COVID-19, penjarakan fizikal satu meter tidak mencukupi kerana titisan air liur boleh berada lebih lama dalam udara dan bergerak lebih jauh bersama asap rokok untuk menjangkiti mereka yang ada dalam lingkungan perokok.

"Pelitup muka menyediakan sedikit perlindungan terutama jika memakai dua lapisan pelitup muka atau pelitup muka N95 mask," katanya.

Merokok juga boleh menjejaskan kemampuan tubuh menghasilkan antibodi melawan COVID-19 sewaktu menerima vaksinasi akibat kesan negatif asap rokok ke atas sesetengah sel yang menghasilkan antibodi.

"Merokok juga menyebabkan mudah berlaku darah beku dan untuk itu, inilah masa terbaik untuk perokok berhenti merokok dan berhenti menyalahkan risiko untuk ini berlaku kerana vaksinasi," ulangnya lagi.

Sementara itu, pensyarah Amalan Farmasi, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Chong Chin Pin berkata risiko mendapat darah beku akibat merokok adalah tinggi, iaitu kira-kira 2,500 kali tinggi risikonya daripada mendapatkan vaksin COVID-19.

"Setakat ini, ada kajian yang menunjukkan perokok menghasilkan sedikit sahaja antibodi selepas menerima vaksinasi COVID-19.

"Meskipun data mengenai kesan merokok ke atas vaksin COVID-19 adalah terhad, kita boleh melihat bukti saintifik kesan merokok ke atas penyakit lain.

"Ambil vaksin influenza sebagai contoh. Kajian membandingkan perokok dan bukan perokok yang menerima vaksin influenza.

"Keberkesanan vaksinasi untuk menghalang mereka yang merokok dimasukkan ke hospital adalah 18 peratus lebih rendah berbanding bukan perokok.

"Antibodi selesema perokok merosot lebih pantas," katanya.

Beliau juga menegaskan, merokok juga dikaitkan dengan sistem imun yang tidak berfungsi dan ini menyebabkan respons kepada vaksin berkurangan.

"Jangan lupa, perokok juga terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 yang lebih tinggi.

"Saya ingin menasihatkan eloklah berhenti merokok untuk mengurangkan risiko jangkitan dan mampu mengekalkan keberkesanan vaksin," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa, Bahagian Penyokongan Imunisasi, Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS).

-- BERNAMA