IPOH: Perang menghadapi pandemik COVID-19 lebih dua tahun telah memberi keinsafan kepada semua pihak untuk lebih menghargai erti kebebasan serta mendalami erti sebuah kemerdekaan.
 
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pandemik juga telah menyedarkan semua bahawa perang itu tidak mampu dilalui bersendirian.

Sebaliknya, kata beliau, kejayaan mengharungi siri perintah kawalan pergerakan serta keberhasilan program vaksinasi kebangsaan adalah berkat perpaduan dan nilai kebersamaan yang mengikat rakyat sebagai sebuah bangsa yang merdeka.
 

“Insafilah jua bahawa kegembiraan yang kita kecapi hari ini tidak datang secara kebetulan kerana ia ditebus dengan tangisan, keringat, keletihan, kesakitan dan pengorbanan tatkala kita berdepan dengan hambatan bertali arus pandemik COVID-19.

“Untuk itu, sempena sambutan hari yang cukup bermakna ini, marilah kita sama-sama menghargai pengorbanan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama yang cekal berjuang memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah pelbagai pertandingan di samping sumbangan kepada veteran pasukan keselamatan yang cedera ketika berkhidmat

Saarani turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan seluruh petugas barisan hadapan yang setia menumpahkan segala kudrat, jiwa dan raga demi melindungi rakyat tanpa mengira waktu.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa kebebasan yang kembali dikecapi hari ini tidak bersifat kekal.

“Pertempuran melawan virus maut adalah perang yang tiada gencatan senjata, kes jangkitan baru boleh datang tiba-tiba tanpa diduga.

“Gelombang jangkitan boleh membadai tanpa dijangka, kemunculan varian baharu boleh menerpa dengan sekelip mata,” ujarnya.
 
Saarani berkata, seluruh anggota pentadbiran sedang menggembeleng segala kekuatan untuk merealisasikan Perak Sejahtera 2030, pelan pembangunan strategik yang merangkumkan usaha memulihkan semula negeri dari impak pandemik serta mempersiapkan Perak menghadapi cabaran ekonomi dan sosial yang semakin rencam.