Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengingatkan petugas media dan pihak luar yang memasuki Parlimen supaya mematuhi peraturan sidang akhbar di bangunan Parlimen.

Beliau berkata mereka perlu menghormati keputusan yang dibuat sebelum ini yang menetapkan ruang sidang akhbar di lobi Parlimen hanya untuk kegunaan anggota Parlimen.

Katanya peraturan tersebut masih berkuat kuasa dan beliau meminta mana-mana pihak selain anggota Parlimen supaya tidak mengaturkan sebarang sidang media atau membuat kenyataan kepada media di kawasan berkenaan.

"Saya tidak akan berkompromi, sesiapa yang tidak berhak untuk buat kenyataan akhbar di situ, saya ingin ingatkan peraturan itu masih ada. Saya serius tentang hal ini," katanya bagi menjawab pertanyaan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) yang meminta penjelasan mengenai sidang media seorang peguam di lobi Parlimen, Khamis lepas.

Sim ingin adakah peraturan tersebut masih berkuat kuasa. Pandikar Amin turut mengingatkan petugas media agar tidak meminta respons terhadap sesuatu isu secara 'hendap' daripada orang ternama yang berada di bangunan Parlimen.

"Kita faham kadang-kadang ada pihak luar ini tidak boleh kawal daripada memberi respons. Wartawan pun bawa mikrofon terus minta respons itu ini, saya ingatkan jangan lakukan begitu lagi," katanya.

Beliau berkata sekiranya peraturan tersebut masih tidak dipatuhi, beliau tidak teragak-agak untuk memanggil editor akhbar yang terlibat dengan liputan Parlimen.

Pada November 2012, Pandikar mengisytiharkan ruang sidang akhbar di bangunan Parlimen, adalah khas dan eksklusif untuk anggota Parlimen sahaja berkuat kuasa serta-merta berdasarkan Peraturan Mesyuarat 93 dan 94.

Beliau berkata orang luar yang masuk ke Parlimen dilarang menggunakan fasiliti itu untuk membuat apa sahaja kenyataan atau sidang akhbar walaupun ditemani oleh anggota Parlimen.