Pandora Papers: Anwar kemuka rayuan di Dewan Rakyat

Astro Awani
Oktober 7, 2021 04:47 MYT
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata isu tersebut adalah perkara tertentu, berkepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan rayuan supaya usul berkait Laporan Pandora Papers dibahaskan di Dewan Rakyat.
Menerusi surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, isu tersebut adalah perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.
"Saya berpendapat bahawa perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers perlu disegerakan.
"Saya berharap rayuan usul ini dapat diteliti dan dipertimbang dengan sesegera mungkin," kongsinya di media sosial.
Rayuan itu dibuat beliau di bawah Peraturan Mesyuarat 90(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
BACA: Anwar kemuka usul bahas isu 'Pandora Papers' di Dewan Rakyat
BACA: Parlimen: Speaker tolak usul bahas isu Pandora Papers
Dewan Rakyat pada Rabu menolak usul untuk membahaskan isu Pandora Papers yang dikemukakan Anwar pada Isnin lalu.
Azhar ketika menjelaskan alasan penolakan itu meminta Presiden PKR itu mengemukakan dalam prosedur lain seperti soalan menteri, soal jawab lisan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Walaupun mengakui perkara itu penting dan perlu disiasat namun beliau berpendapat tidak ada keperluan untuk usul itu disegerakan buat masa ini.
Sumber Facebook anwaribrahimofficial
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #usul Pandora Papers #Azhar Azizan Harun