IPOH: Polis menahan seorang lelaki berhubung panggilan bom palsu di pusat membeli belah Aeon Mall di Klebang, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, suspek seorang warga tempatan berusia 38 tahun, ditahan di sebuah rumah di Tasek di sini, kira-kira jam 9.30 malam, lima jam selepas pihaknya menerima laporan.

Menurutnya, suspek dipercayai bertanggungjawab terhadap panggilan ancaman bom kepada pihak pengurusan pusat membeli belah tersebut.

“Ia berdasarkan kepada pengakuan dan keterangan-keterangan yang dikumpulkan, termasuk peranti komunikasi yang digunakan suspek untuk membuat panggilan palsu tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Yahaya berkata, kira-kira jam 4.50 petang semalam, pihaknya menerima panggilan daripada pekerja pusat membeli belah itu mengenai ancaman bom di dalam premis.

Susulan itu, katanya, pemeriksaan menyeluruh dibuat di dalam bangunan terbabit dengan bantuan Unit Pemusnahan Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang objek meragukan ditemui.

Selepas keadaan disahkan selamat, semua kakitangan dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan pada 10.30 malam tadi.

Yahaya berkata, dengan tertangkapnya suspek tersebut, pihaknya percaya kes itu telah berjaya diselesaikan.

Beliau memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak membuat panggilan ancaman bom palsu sewenang-wenangnya sehingga mendatangkan ketakutan dan menggugat ketenteraman awam.

Sementara itu, pengurusan AEON Mall Klebang dalam kenyataannya malam tadi berkata, selepas pengesahan keselamatan daripada pihak berkuasa, mereka akan beroperasi semula seperti biasa mulai 10 pagi Khamis.