PUTRAJAYA: Talian 'hotline' pendaftaran imunisasi akan mula menghubungi pemilik akaun MySejahtera yang masih belum mendaftar untuk menjadi penerima vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha itu dilakukan bertujuan untuk meningkatkan pendaftaran program vaksinasi.

"Saya juga ingin umumkan program Jangkau Komuniti yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Mereka akan bergerak dari rumah ke rumah di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk laksanakan pendaftaran secara bersemuka terutamanya di kawasan yang capaian internet mereka rendah.

"Sasaran kira adalah mereka yang tiada peranti dan kurang capaian internet agar mereka dapat daftar vaksin secara bersemuka," katanya.

BACA: Vaksinasi: Bantuan khas hingga RM500,000 untuk kesan sampingan serius, hilang upaya kekal

Beliau berkata demikian pada sidang media Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini pada Isnin.

Tambah beliau, sikap tunggu dan lihat masih lagi menjadi faktor utama kadar pendaftaran vaksinasi masih lagi rendah.

“Ini adalah antara faktor yang kita ambil kira. Kita akan tingkatkan program komunikasi kita yang difikirkan perlu kita tingkatkan.

“Saya yakin kadar pendaftaran akan meningkat. Apabila mereka lihat anak, jiran, saudara-mara dan yang lain-lain sudah dapat vaksin, mereka akan bertambah yakin (untuk mendaftar),” ujarnya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan, sehingga 21 Mac 2021, seramai 6,155,213 rakyat Malaysia sudah mendaftar untuk menjadi penerima vaksin, merangkumi 25.4 peratus daripada populasi keseluruhan. 

Jumlah rakyat yang sudah menerima vaksin pula ialah sebanyak 428,710 orang dengan 412,342 orang menerima dos pertama manakala 16,368 orang sudah selesai menerima dos kedua.