KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi membanteras 'pencerobohan' laluan bas oleh kenderaan persendirian yang menjejaskan fungsi infrustruktur itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yassin berkata penguatkuasaan boleh dilaksanakan menerusi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kesalahan di kawasan terbabit.

"Ia bagi memastikan laluan bas tidak terhalang dan menjadikan pergerakan dan frekuensi lebih laju serta menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk Mengoptimumkan Kompetensi Perkhidmatan Bas Rapid terbitan Bernama TV malam Jumaat.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan notis kompaun pencerobohan laluan bas juga telah dilaksanakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di samping menjadikan infrustruktur itu lebih mudah dilihat antaranya menyelenggara dengan warna lebih terang.

Muhammad Yazurin Sallij berkata pihaknya bekerjasama dengan DBKL untuk menguat kuasa lebih 14 lorong bas sedia ada seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan Pahang yang mampu mengurangkan masa perjalanan sehingga 10 minit.

"Tanpa penguatkuasaan itu kita terpaksa menambah sekitar 41 bas , jadi jelas ia (penguatkuasaan lorong bas) lebih efisien," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan terkini laluan kontra di Jalan Ampang yang bermula awal bulan ini, turut memberikan impak positif dengan jumlah penumpang meningkat 10 peratus dalam tempoh dua minggu.

"Kita sasarkan untuk menggandakan jumlah penumpang di laluan Jalan Ampang kepada 30,000. Sekiranya dapat capai itu, tercapailah objektif mengurangkan kesesakan trafik," katanya.

-- BERNAMA