Skip to main content

Malaysia

Papagomo gagal tangguh penghakiman saman Guan Eng, anak

Kuala Lumpur , 30 Mac 2026. Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo hadir di perkarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan  pembelaan kes yang didakwa menghasut yang mendatangkan kebencian.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM5,000. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang lebih dikenali sebagai Papagomo, untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan anak lelakinya.

Ketika menolak permohonan itu, Hakim Roslan Mat Nor memutuskan bahawa defendan gagal membuktikan wujudnya sebarang keadaan khas bagi membolehkan penangguhan pelaksanaan penghakiman diberikan sementara menunggu rayuannya, yang difailkan pada 2 Jun lepas, diputuskan.

“Defendan mendakwa beliau akan berjaya dalam rayuannya dan rayuan itu akan menjadi akademik sekiranya jumlah penghakiman dibayar sekarang. Defendan turut berhujah bahawa beliau akan berdepan prosiding kebankrapan sekiranya plaintif melaksanakan penghakiman tersebut.

“Alasan-alasan ini tidak membantu mahkamah dalam melaksanakan budi bicaranya untuk memberikan penangguhan pelaksanaan,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM5,000.

Pada 19 Mei lepas, mahkamah memutuskan Wan Muhammad Azri bertanggungjawab atas fitnah dan memerintahkannya membayar ganti rugi RM280,000 kepada Guan Eng dan Clint Lim Way Chau berhubung hantaran mendakwa Way Chau ditahan di Singapura kerana kononnya membawa masuk wang tunai RM2 juta yang tidak diisytiharkan pada 2020.

Mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi keseluruhan RM200,000 dan kos RM30,000 kepada Guan Eng, serta ganti rugi RM80,000 dan kos RM10,000 kepada plaintif kedua, Way Chau.

Kedua-duanya memfailkan saman itu pada 19 April 2020 dengan mendakwa defendan memuat naik kenyataan berunsur fitnah di laman Facebooknya yang mendakwa Way Chau ditahan di Lapangan Terbang Changi pada 29 Feb 2020 kerana membawa masuk wang tunai RM2 juta yang tidak diisytiharkan.

Guan Eng berkata defendan, yang memuat naik hantaran itu menggunakan nama ‘Papa Azri’ pada 14 Mac 2020, turut mendakwa beliau telah pergi ke Singapura pada 29 Feb 2020 selepas penahanan yang didakwa berlaku itu.

Peguam Simon Murali hadir pada prosiding hari ini mewakili kedua-dua plaintif, manakala peguam Fazilah Jaafar mewakili Wan Muhammad Azri.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement