KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) hairan apabila difahamkan tiada perkembangan terkini mengenai perjanjian membuka semula pasaran buruh antara Malaysia dan Bangladesh.

Situasi itu berlaku di sebalik kesediaan Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad yang mengalu-alukan sebarang rundingan baharu mengenai memorandum persefahaman (MoU) antara negara itu dengan Malaysia.

Setiausaha Agung PAPSMA, Sukumaran Nair berkata, kenyataan itu dibuat Imran dalam satu perjumpaan antara PAPSMA, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) dan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) pada Ahad lalu.

“Beliau juga mencadangkan agar Bangladesh dilayan seperti mana-mana 14 negara sumber lain dalam proses pengambilan ke Malaysia.

“Mengapa Bangladesh harus dilayan berbeza, dengan syarat seperti, 25 agensi Bangladesh dan 250 sub ejen yang mana kerajaan Bangladesh tidak diberi kuasa untuk memilih ejen pengambilan berdaftar jika diperlukan oleh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, disebabkan isu tersebut masih belum selesai, PAPSMA dihujani pelbagai pertanyaan berkaitan masalah kekurangan pekerja asing dalam pelbagai sektor di Malaysia.

“Semua sektor utama menghadapi kekurangan pekerja yang teruk dan banyak yang kehilangan perniagaan bernilai jutaan ringgit akibat kelewatan pengambilan pekerja asing ke negara ini.

“Ramai pelanggan kami yang telah memohon pekerja asing sejak awal bulan ini. Mereka tidak mempunyai kata putus mengenai tempoh masa yang mereka perlu tunggu untuk kelulusan permohonan mereka,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan tiada perkembangan terkini mengenai perjanjian untuk membuka semula pasaran buruh antara Malaysia dan Bangladesh meskipun selepas empat bulan MoU ditandatangani.

Perbincangan dua hala selepas pemeteraian memorandum persefahaman itu terhenti sejak Januari lepas.