Penduduk di Kampung Senadin Jaya menghadapi masalah peparitan yang tidak sempurna dan sempit yang mudah tersumbat dan air bertakung menyebabkan banjir kilat apabila musim hujan lebat dan air pasang.

Menurut penduduk di situ, air banjir boleh mencapai sehingga ke paras lutut sekiranya banjir berlaku di kawasan perkampungan mereka.

Mereka juga khuatir sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan segera ianya boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku terutama kepada anak-anak kecil yang suka bermain air semasa banjir.

Begitu juga apabila parit tersebut bertakung ianya boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes berlaku dalam kawasan perumahan mereka.

Sebelum berlaku pembiakan nyamuk aedes di kawasan kediaman mereka pihak berkuasa yang berkenaan harus bertindak untuk menyelesaikannya.

Walaupun kes demam denggi menurun, pihak berkenaan perlu juga terus memantau keadaan sekitar kawasan perumahan yang menghadapi masalah peparitan yang tersumbat dan juga masalah sampah yang tidak diselenggarakan dengan betul.

Kami menggesa pihak yang berkenaan untuk segera melaksanakan penyelenggaraan saliran tersumbat di sepanjang jalan utama di mana kawasan-kawasan perumahan yang mempunyai kepadatan penduduk.

Dalam bajet 2014 sebanyak 4.1 bilion ringgit disediakan untuk berbagai program pembangunan luar bandar untuk projek infrastruktur asas tetapi mengapa sehingga kini masalah peparitan dalam kawasan perumahan di perkampungan masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Sekarang sudah musim hujan dan sudah pasti penduduk bimbang banjir kilat akan berlaku di kawasan perumahan mereka sebab banyak masalah peparitan dalam kawasan perkampungan Senadin dan sekitarnya masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Kerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk segera mengatasi masalah peparitan di kampung dan kawasan perumahan di Senadin amat dihargai.

Jofri Jaraiee ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak dan Yang Dipertua PAS Miri.