Skip to main content

Malaysia

Parlimen: 13 daripada 17 syor RCI TH sudah dilaksana

Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). - Gambar fail/BERNAMA
Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 daripada 17 syor penambahbaikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah tanggungjawab institusi berkenaan telah dilaksanakan setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata baki empat syor masih dalam tindakan melibatkan pindaan Akta Tabung Haji 1995 serta skop pengawasan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Beliau berkata secara keseluruhan, RCI mengemukakan 25 syor dengan lapan lagi membabitkan pelaksanaan oleh pihak lain.

Menerusi dapatan siasatan, Zulkifli berkata RCI mendapati Ketua Audit Negara (KAN) tidak bertegas dalam proses pengauditan dan berpandangan Penyata Kewangan TH bagi 2014 hingga 2017 tidak wajar diberikan Sijil Audit Bersih.

“Walaupun Penyata Kewangan TH bagi 2014-2017 telah diberikan Sijil Audit Bersih bagi tahun 2017, KAN telah memasukkan 'Penegasan Perkara' atau 'Emphasis of Matter'. RCI berpandangan isu yang dibangkitkan adalah lebih serius dan sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan serta membawa kepada pendapat audit yang berteguran.

“RCI juga berpendapat bahawa sekiranya piawaian pelaporan kewangan Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) digunakan sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih kira-kira RM1.4 bilion bagi 2017, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion yang dilaporkan ketika itu,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (GRS-Tuaran) mengenai dapatan RCI TH, status pelaksanaan 25 syor serta tarikh laporan penuh dan matriks tindakan dibentangkan kepada Parlimen.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sebanyak 19 kes membabitkan 12 ahli politik diputuskan dengan perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah bagi tempoh 2010 hingga Julai lepas.

Beliau berkata dapatan itu diperoleh berdasarkan rekod semakan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) membabitkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah di seluruh negara.

Azalina menjelaskan perintah DNAA tidak membawa maksud seseorang itu bebas sepenuhnya daripada pertuduhan kerana kes jenayah tidak tertakluk kepada tempoh had masa seperti kes sivil.

“Seseorang yang diberikan DNAA masih boleh didakwa semula atas pertuduhan yang sama sekiranya pihak pendakwaan memutuskan untuk berbuat demikian berdasarkan fakta, keterangan dan perkembangan kes,” katanya.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai jumlah kes pertuduhan jenayah melibatkan ahli politik yang menerima DNAA dari 2010 hingga Julai 2026.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement