KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kem dikenal pasti bagi pelaksanaan Latihan Wira Muda Negara Fasa 2A di bawah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dan dijangka mencapai kapasiti operasi maksimum menjelang Julai 2028.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kem berkenaan membabitkan 11 kem Rejimen Askar Wataniah dan dua Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP).
"Persiapan bagi pengoperasian semua kem berkenaan sedang dilaksanakan secara berperingkat, termasuk proses perolehan dan tender bagi kerja menaik taraf serta penyediaan kemudahan latihan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta kerajaan menyatakan langkah proaktif bagi menyiapkan semua kem PLKN di seluruh negara serta jangkaan tempoh kem berkenaan dapat digunakan sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, langkah itu bagi memastikan semua kem memenuhi keperluan operasi dan kapasiti pelaksanaan PLKN 3.0.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pengoperasian semua kem secara berperingkat sehingga mencapai kapasiti maksimum menjelang Julai 2028 tertakluk kepada kelancaran pelaksanaan kerja menaik taraf dan penyediaan kemudahan.