KUALA LUMPUR: Analisis awal projek perintis penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) yang digunakan untuk pencegahan HIV menunjukkan penurunan drastik.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dapatan itu berdasarkan 3,451 individu yang menerima PrEP sejak projek perintis dimulakan pada Januari 2023 hingga 11 Januari lalu.

Beliau memberitahu, kadar jangkitan penyakit sifilis menurun daripada 11 kepada kepada 6.5 peratus selepas enam bulan dan 1.3 peratus selepas 12 bulan.

"Peratus klien (peserta) yang sentiasa menggunakan kondom pula meningkat daripada 30 peratus kepada 38.6 peratus selepas 6 bulan dan 44 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Dzulkefly menambah, peratus klien yang mempunyai hanya satu pasangan seksual (monogamous) juga meningkat daripada 7.2 peratus kepada 19.4 peratus selepas 6 bulan dan 29.6 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP.

"Saya juga ingin berkongsi di sini bahawa terdapat 51 klien yang telah berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko. Itu juga satu kesan yang penting," ujarnya.

Pun begitu katanya, terdapat tiga kes positif HIV (0.09 peratus), kerana pengguna tidak patuh
kepada pengambilan PrEP.

Namun katanya, kadar itu jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain yang melaksanakan PrEP lebih awal.

"Hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan bahawa klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten dan perubahan tingkah laku yang lebih baik, walaupun sedang menggunakan PrEP," jelasnya.

Menurutnya, program PrEP diperluaskan daripada 18 klinik kesihatan ke 21 Klinik pada tahun 2023, dan seterusnya akan diperluas kepada 10 buah klinik kesihatan lagi pada tahun 2024.

Tambahnya, ini menjadikan keseluruhan klinik kesihatan yang terlibat dalam Program PrEP pada tahun 2024 adalah sebanyak 31 buah Klinik Kesihatan di 14 buah negeri.