KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan hari ini memberi jaminan pengurusan Digital Nasional Berhad (DNB), selaku pemudahcara penyediaan rangkaian 5G di negara ini, adalah sama sekali berbeza dengan pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Timbalan Menteri Kewangan Dua, Yamani Hafez Musa berkata, proses tender yang dijalankan DNB telah distruktur oleh firma Ersnt And Young Consulting Sdn Bhd dan dipantau empat panel penilaian terdiri daripada 50 pakar tempatan dan antarabangsa.

Jelas Ahli Parlimen Sipitang itu lagi , kesemua pakar berkenaan memiliki kepakaran dan pengalaman melaksanakan perkhidmatan 5G di negara masing-masing.

“Kita ingin membuat ketegasan bahawa DNB dan 1MDB adalah perkara berbeza. Dari segi proses tender, proses tender DNB ini telah distruktur oleh firma perkhidmatan bebas Ernst and Young dan mengikut piawaian global.

“(Perkhidmatan) Goldman Sachs (untuk 1MDB) itu bertujuan untuk meraih bon. This is an open tender, a big difference. Ini adalah empat panel tediri dari 50 pakar tempatan, antarabangsa dari 10 negara yang memiliki pengalaman melaksanakan 5G dari masa kini.

"Seperti dikatakan, saya tahu Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berpengalaman dalam kementerian saya. Saya hormat, tapi seperti saya kata, Goldman Sachs itu bukan (untuk kawal selia) open tender, ia dilantik secara terus untuk fundraising untuk bond. DNB ini kita buat tender terbuka.

“Mungkin banyak kita akan buat libat urus kepada dengan semua Ahli-ahli Parlimen bukan sahaja kerajaan tetapi pembangkang untuk DNB beri penerangan telus supaya apa-apa soalan atau syak wasangka boleh dijawab oleh pihak DNB sendiri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang khuatir tentang proses urus tadbir kerajaan tentang penyediaan rangkaian tersebut.

Mengulas mengenai kos penyediaan, Yamani Hafez berkata, daripada jumlah keseluruhan RM12.5 bilion yang diperuntukkan, 61 peratus akan memanfaatkan kepentingan bumiputera dan 24 peratus akan beri manfaat pada kontraktor malaysia lain dan 15 peratus akan memanfaatkan kepentingan asing.

“Anggaran awal kos Rangkaian Liputan 5G ini adalah berjumlah RM11 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM4 bilion adalah bagi perkakasan rangkaian dan perkhidmatan diuruskan (managed services) selama 10 tahun oleh Ericsson.

"RM6 bilion adalah bagi kos infrastruktur rangkaian daripada pembekal lain iaitu bagi menara, gentian telekomunikasi, tenaga elektrik dan kos-kos lain manakala RM1 bilion lagi adalah bagi bayaran fi Penguntukan Radas (Apparatus Assignment) kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“DNB kini menjangkakan RM1.5 bilion lagi diperlukan bagi gentian telekomunikasi tambahan selama 10 tahun daripada Telekom Malaysia (TM), disebabkan infrastruktur gentian telekomunikasi dalam negara yang berada pada tahap lebih rendah daripada dijangkakan," katanya lagi.

Yamani Hafez turut berkata, kos keseluruhan bagi perkakasan dan infrastruktur rangkaian liputan 5G negara dianggarkan berjumlah RM12.5 bilion.


DNB tidak akan sama seperti 1MDB