KUALA LUMPUR: Pada kebiasaannya sebarang keputusan rayuan kes jenayah yang ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Rayuan akan diputuskan pada hari yang sama ia didengar.

Begitupun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berdasarkan rekod di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan, hanya kes melibatkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan untuk keputusan dalam tempoh melebihi lima bulan.

Bahkan, katanya, terdapat lima lagi kes rayuan melibatkan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Rayuan yang masih aktif.

“Bagi Mahkamah Persekutuan pula, tiada sebarang kes rayuan jenayah yang ditangguhkan untuk keputusan melebihi tempoh lima bulan.

“Berhubung dengan kes yang melibatkan YB Pekan di Mahkamah Persekutuan, pada masa ini terdapat satu rayuan jenayah melibatkan YB Pekan yang masih aktif (Rayuan Jenayah No: 05(L)-196-09/2021(W)).

“Rayuan telah didaftarkan pada 13 September 2021 dan kini sedang menunggu penyediaan alasan penghakiman dan rekod rayuan,” katanya pada sesi Penggulungan Bajet 2022 (Peringkat Dasar) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Jelas beliau lagi, bagi kes rayuan yang melibatkan isu rumit dan memerlukan penelitian mendalam, tarikh keputusan untuk rayuan tersebut akan ditetapkan dalam satu tempoh masa yang munasabah.

Wan Junaidi berkata demikian bagi menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH - Puchong) dalam perbahasan sebelum ini yang membangkitkan isu kelewatan kes Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Menurut Gobind, kes melibatkan Najib telah pun didengar dan ditangguhkan dalam bulan Mei 2021 namun sehingga bulan November, masih menunggu keputusan.