Skip to main content

Malaysia

Parlimen harus pantau SPRM - Nurul Izzah

KOTA KINABALU, 18 Nov -- Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar ketika menyampaikan ucapan pada ceramah Pakatan Harapan di PDM Tengah Padang Petagas hari ini.  -- fotoBERNAMA
Nurul Izzah menegaskan kekuatan sesebuah demokrasi bukan sahaja diukur melalui undang-undang yang digubal, tetapi juga melalui integriti pelaksanaannya. - Gambar fail/ Bernama

KUALA LUMPUR: Parlimen perlu memainkan peranan lebih kukuh dalam memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan integriti institusi itu terus terpelihara serta keyakinan rakyat terhadap usaha memerangi rasuah kekal terjamin.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan, kekuatan sesebuah demokrasi bukan sahaja diukur melalui undang-undang yang digubal, tetapi juga melalui integriti pelaksanaannya serta kewibawaan institusi yang diamanahkan untuk menjunjungnya.

Advertisement

Katanya, institusi kerajaan perlu sentiasa membuktikan mereka berkhidmat demi kepentingan seluruh rakyat dan negara, bukan untuk segelintir individu atau kelompok tertentu.

“Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kekal sebagai tonggak utama bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.

“Melakukan perkara yang betul sahaja tidak memadai, kerajaan juga mesti dilihat dan diyakini oleh rakyat sebagai melakukan perkara yang betul,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Beliau berkata, kuasa yang diperuntukkan kepada SPRM di bawah akta sedia ada sepatutnya menjadi senjata memerangi rasuah, namun dalam keadaan tertentu ia boleh mewujudkan persepsi bahawa seseorang individu diperlakukan seolah-olah bersalah hanya kerana terlibat dalam persaingan politik atau berani bersuara.

Tambahnya, apabila penguatkuasaan dilihat berlebihan, tidak telus atau bersifat intimidasi, keadaan itu boleh melemahkan prinsip demokrasi.

Nurul Izzah berkata, mungkin terdapat asas yang sah bagi sesuatu siasatan dijalankan, termasuk berkaitan perjanjian bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dan ARM Holdings, selain usaha menjejak serta mendapatkan semula dana yang diperoleh secara tidak sah bagi memulihkan tabung negara.

Namun, katanya cara pengendalian sesetengah siasatan yang dijalankan secara keras, termasuk pendedahan serta penyebaran alamat kediaman peribadi sehingga menjadi tontonan umum walaupun dikatakan sebahagian daripada prosedur operasi standard, perlu memenuhi tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi.

Beliau menegaskan pendekatan sedemikian perlu mencerminkan keseimbangan, perkadaran, hormat terhadap privasi dan tanggungjawab institusi.

Menurutnya, tiada sesiapa yang kebal daripada penelitian undang-undang, namun apabila melibatkan dana awam yang besar, rakyat berhak mengetahui siapa yang menjejaki wang berkenaan serta siapa yang memastikan pihak yang menjalankan siasatan turut dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata, kredibiliti usaha memerangi rasuah bergantung kepada kepercayaan awam yang hanya akan terpelihara sekiranya institusi dilihat bertindak secara adil, bertanggungjawab dan telus.

Nurul Izzah turut menyentuh dakwaan mengenai kewujudan “mafia korporat” yang menjadi perbualan umum, termasuk persoalan berkaitan pegangan saham peribadi pesuruhjaya serta potensi konflik kepentingan yang menurutnya memerlukan jawapan yang telus.

Katanya, dakwaan yang tidak dijawab dengan sewajarnya boleh mewujudkan jurang kredibiliti yang akhirnya menggugat usaha nasional dalam memerangi rasuah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan mekanisme semak imbang yang lebih kukuh perlu diwujudkan, termasuk mengukuhkan pengawasan Parlimen terhadap SPRM.

Menurutnya, laporan berkala kepada Parlimen membolehkan wakil rakyat menilai kerja Suruhanjaya, manakala badan seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang khusus boleh meneliti dasar, prosedur serta keputusan penguatkuasaan.

Katanya, pengawasan sedemikian tidak akan mengganggu siasatan, sebaliknya membantu memastikan undang-undang yang mentadbir SPRM berkembang seiring dengan tahap ketelusan dan keyakinan awam yang lebih tinggi.

Beliau turut memaklumkan telah berulang kali membangkitkan risiko sistemik yang timbul daripada kebimbangan berkenaan dan akan terus menyokong usaha bagi menanganinya.

Menurutnya, pengawasan Parlimen terhadap SPRM bukan satu serangan terhadap usaha membanteras rasuah, sebaliknya merupakan penyempurnaan kepada usaha tersebut.

“Kebertanggungjawaban harus bersifat menyeluruh atau ia langsung tidak bermakna. Malaysia berhak memiliki institusi yang boleh dipercayai, dan institusi yang terbukti juga layak menerima kepercayaan itu,” katanya.

Must Watch Video