Kerajaan kini di peringkat akhir dalam usaha memperkasa undang-undang syariah di negara ini melalui peningkatan susunan mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Majlis Agama Islam Negeri telah bersetuju untuk menambah bilangan peringkat Mahkamah Syariah dari tiga sekarang kepada lima.

Tiga peringkat itu ialah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Lima peringkat mahkamah yang akan diwujudkan ialah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis Rayuan Syariah, katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Jamil Khir berkata berikutan itu, kerajaan sedang mengkaji untuk menaikkan kadar hukuman di mahkamah syariah dari maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan kepada kadar hukuman yang lebih tinggi.

"Jika perkara ini dapat direalisasikan, ia bakal membawa rahmat kepada umat Islam dan mahkamah syariah menjadi lebih baik di masa hadapan," katanya.