KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyangkal dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan yang menyekat mana-mana individu untuk bercakap mengenai isu 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja) di dalam negara ini.

Sebaliknya, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menjalankan siasatan jika ada laporan yang dipercayai berbaur hasutan.

Jelas beliau lagi, mana-mana individu boleh menyuarakan pandangan demi memartabatkan bangsa, agama serta melahirkan keharmonian di dalam negara.

"... Yang tak boleh apa? Mengundi Pakatan Harapan (PH) adalah bahaya kerana PH menaja kumpulan Yahudi. Itu Tak boleh lah. Pada 17 September 2022, jam 5 petang, aduan telah dibuat di atas ucapan Pagoh dalam Cerah Mega PN Best pada 16 September 2022 di Padang Bukit Muar Parit Jawa. Ini disebut.

"Jadi Polis terpaksa buka siasatan. Sebab ada aduan, apa kalimahnya? Nak cakap tentang bangsa Melayu, Islam agama yang suci murni, silakan. Tapi bila sampai kepada 'bahaya PH kerana menaja kumpulan Yahudi', dan menyebabkan kristianisasi di Malaysia, polis siasatlah.

"Ya kalau boleh polis siasat, Tan Sri (Muhyiddin) dipanggil untuk beri kenyataan kepada polis," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum itu, Muhyiddin dalam soalan tambahan mengatakan bahawa sepanjang dalam sejarah, tidak pernah Ketua Polis mengatakan tidak boleh sebut 3R tetapi larangan itu hanya dikenakan jika ia menyentuh perkara yang sensitif atau perasaan perkauman.

Justeru, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyarankan agar Saifuddin memaklumkan kepada Ketua Polis Negara, selain PDRM didakwa tidak memiliki prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk melarang kebebasan bersuara.

Menjawab lanjut, Saifuddin turut memberikan contoh lain yang menjurus kepada siasatan polis termasuk kenyataan Ahli Parlimen Marang, yang didakwa menyebut PH telah merungkai Perlembagaan Persekutuan, membuang Islam dan mengugat hak istimewa orang Melayu sepanjang 22 bulan memerintah.

Selain itu, beliau berkata ketika penutup Muktamar Pas ke-69 semalam, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi didakwa menyentuh isu 3R.

"Marang sebut lagi 3R ini patut dikenakan kepada perkara yang mengancam agama Islam dan undang-undang. Bukan ambil tindakan kepada orang yang menasihati kerajaan atau menasihati orang Melayu tentang 3R.

"Nasihat tak ada masalah. Tapi bila sebut perbuatan ini adalah mencabar Islam, mencabar Allah mencabar Raja-Raja, tapi tak disebut siapa cabar, ungkapan di mana?.

"Dalam konteks inilah Tan Sri Ketua Polis Negara memberikan nasihat (supaya tidak sentuh 3R)," tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Saifuddin berkata ketika ini sebanyak 104 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM melibatkan isu 3R terhadap mana-mana pihak tanpa mengira latar belakang politik. 

Tambah beliau lagi, pendirian kerajaan adalah jelas iaitu tidak membenarkan sebarang kenyataan, hantaran, atau penerbitan yang bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

Ia antaranya Perlembagaan Persekutuan, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.