Parlimen: Sekatan terhadap Grok tidak kekal, tunggu jawapan balas X

Fahmi berkata, sekatan itu dibuat susulan penyalahgunaan Grok secara berulang kali bagi menjana kandungan lucah dan seksual eksplisit, yang jelas melanggar piawaian keselamatan dalam talian. - Gambar JaPen
KUALA LUMPUR : Sekatan terhadap akses kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) Grok di platform media sosial X bukan bersifat kekal, sebaliknya dilaksanakan secara sementara, sama seperti langkah yang diambil Indonesia dan Filipina.
Ringkasan AI
- Sekatan akses aplikasi kecerdasan buatan (AI) Grok di platform media sosial X adalah tindakan sementara susulan penyalahgunaan aplikasi untuk kandungan lucah dan seksual eksplisit, melanggar piawaian keselamatan dalam talian.
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan kerajaan menunggu jawapan rasmi daripada X sebelum membuat keputusan lanjut berhubung penarikan sekatan tersebut, yang merupakan situasi hibrid unik di Malaysia.
- Fahmi menekankan perlunya penelitian lebih mendalam bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memastikan kawal selia dan penanganan isu kemudaratan dalam talian lebih berkesan, termasuk menilai semula ambang lapan juta pengguna serta merangkumi budaya dan risiko dalam talian yang tidak terbatas kepada jumlah pengguna sahaja.
"Isu melibatkan X dan Grok ini adalah unik kerana X merupakan platform media sosial, manakala Grok pula ialah aplikasi AI yang wujud dalam ekosistem sama. Ia mewujudkan keadaan yang bersifat hibrid," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berhubung kemungkinan kerajaan mewajibkan audit keselamatan dan penilaian risiko terhadap model AI yang boleh diakses, selain status sekatan ke atas Grok.
Fahmi berkata, situasi hibrid itu menuntut penelitian rapi, memandangkan perkembangan teknologi AI kini turut disepadukan dalam pelbagai aplikasi pemesejan seperti WhatsApp, yang menawarkan fungsi AI dalam platform sedia ada.
"Ini adalah ruang yang sedang kami teliti bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan aspek kawal selia dan isu kemudaratan dalam talian dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau menjelaskan, ketika ini X dikecualikan daripada keperluan pelesenan kerana platform itu mendakwa tidak mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, insiden serius melibatkan penyalahgunaan Grok mendorong kerajaan dan MCMC menilai semula ambang lapan juta pengguna, memandangkan budaya dan risiko dalam talian tidak terhad kepada jumlah pengguna semata-mata.
"Kebudayaan dalam talian tidak berhenti hanya kerana bilangan pengguna kurang daripada lapan juta. Oleh itu, perkara ini sedang diberi penelitian," katanya.
Fahmi menegaskan, sekatan itu akan ditarik semula sekiranya penjelasan dan jaminan yang dikemukakan pihak X disahkan melalui proses penilaian serta pengesahan MCMC.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, sehingga kini MCMC merekodkan 17 aduan atau laporan berkaitan aplikasi Grok.
Beliau berkata, ia melibatkan enam aduan rasmi, dua laporan polis yang dikongsi pengadu, lapan aduan melalui penandaan media sosial dan satu laporan awal pertama yang dibuka oleh MCMC.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


