BATU PAHAT: Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan Parlimen dengan sewenang-wenangnya dan sebaliknya ia memerlukan notis daripada Ketua Majlis (Perdana Menteri).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum sidang Parlimen boleh dilaksanakan.

Justeru, katanya, mana-mana Ahli Parlimen yang mahu mengadakan sidang berkenaan, mereka perlu membuat permohonan kepada Ketua Majlis (Perdana Menteri).

"Kita tetap masih memerlukan surat atau sekurang-kurangnya notis daripada Ketua Majlis dan diminta semua (Ahli Parlimen) memahaminya.

"Walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memprorog (gantung) dan panggil semula Parlimen namun ia perlu mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri," katanya selepas menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 400 keluarga B40 dalam kawasan Parlimen Batu Pahat, di sini, hari ini.

Mohd Rashid, yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat itu, berkata Parlimen Malaysia ada menerima cadangan lima Ahli Parlimen pembangkang untuk mengadakan sidang Parlimen mengikut jadual asal yang sepatutnya hari ini (8 Mac), namun mereka dinasihati agar mengutamakan proklamasi darurat yang dilaksanakan ketika ini.

Selain lima Ahli Parlimen pembangkang, katanya, pihaknya turut menerima cadangan yang sama daripada beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

-- BERNAMA