PRK Kinabatangan catat 33 peratus keluar mengundi, Lamag 30 peratus setakat 11 pagi - SPR

Keberadaan pengundi di luar kawasan Parlimen dan DUN berkenaan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang rendah pada ketika ini. -Gambar fail/Bernama
KINABATANGAN: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan merekodkan sebanyak 33 peratus atau 15,943 pengundi setakat 11 pagi ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula, sebanyak 30 peratus atau 4,042 pengundi telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh sama.
Menurut beliau, keberadaan pengundi di luar kawasan Parlimen dan DUN berkenaan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang rendah pada ketika ini.
Katanya kadar peratusan yang direkodkan itu adalah lebih rendah berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, November tahun lepas, untuk tempoh yang sama.
"Jika melihat pada keadaan semasa, kadar keluar mengundi agak rendah berbanding PRN baru-baru ini.
"Saya berharap pengundi dapat mengambil peluang ini untuk hadir dan menunaikan tanggungjawab mereka seberapa ramai mungkin," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam II di sini, hari ini.
Ramlan berkata setakat ini, proses pengundian di semua pusat pengundian berjalan lancar.
Sebanyak 36 pusat mengundi dengan 117 saluran dibuka serentak pada 7.30 pagi ini dan akan ditutup secara berperingkat sehingga 5.30 petang.
Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima lima laporan sepanjang berlangsungnya kedua-dua PRK berkenaan, dengan empat daripadanya membabitkan kesalahan pilihan raya semasa berkempen dan satu lagi berkaitan provokasi.
"Namun, ia tidak melibatkan sebarang laporan polis setakat ini, selain tindakan yang diambil oleh badan pemantau yang dilantik," katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA
Dapatkan keputusan dan berita terkini PRK Kinabatangan dan PRK Lamag di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

