Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Noraini Ahmad mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said atas pelantikannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi menzahirkan ucapan itu menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya, berkata buat julung kalinya Dewan Rakyat memilih seorang wanita untuk memegang jawatan itu.

"Terukir juga dalam catatan sejarah, apabila Parlimen dan Kerajaan mengangkat dan memperkasa peranan wanita sehingga ke peringkat ini dalam sebahagian kumpulan pembuat polisi.

"Wanita UMNO dan BN sangat berbangga dengan pencapaian ini dan mendoakan beliau (Azalina) diberi rahmat dan perlindungan Allah sepanjang menjalankan tugas ini," katanya.

Terdahulu dalam persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, Azalina dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang meletak jawatan pada hari yang sama.

Azalina dipilih memegang jawatan itu mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang diusulkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-- BERNAMA