KUALA LUMPUR: Trafik penumpang antarabangsa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Malaysia meningkat 9.3 peratus bulan ke bulan kepada 4.5 juta pada Julai 2026, disokong oleh perjalanan musim panas di seluruh Eropah, Timur Tengah dan sebahagian Asia.
Menurut Malaysia Airports, trafik penumpang di seluruh rangkaian tempatannya meningkat 4.6 peratus bulan ke bulan kepada 8.0 juta pada Julai, manakala kesalinghubungan terus berkembang dengan pengenalan dua syarikat penerbangan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagaimanapun, trafik domestik kekal rendah sebanyak 3.5 juta penumpang pada Julai, susut satu peratus dari Jun dan 19.8 peratus tahun ke tahun apabila syarikat penerbangan terus mengoptimumkan kapasiti sebagai tindak balas kepada kos operasi dan perubahan dalam permintaan pasaran, menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, jumlah pergerakan penumpang di seluruh lapangan terbang di Malaysia merosot 11 peratus tahun ke tahun.
"Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026, operasi Malaysia Airports di Malaysia mengendalikan 59 juta penumpang, secara amnya setara dengan tempoh yang sama tahun lepas. Trafik antarabangsa pula berkembang 6.1 peratus tahun ke tahun sepanjang tempoh itu, manakala trafik domestik susut 6.7 peratus," tambah syarikat itu.
KLIA mengendalikan lima juta penumpang pada Julai, meningkat 6.6 peratus dari Jun dengan trafik di KLIA setakat tahun ini mencecah 36.7 juta penumpang, iaitu naik 3.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani berkata trafik antarabangsa terus memberikan imbangan positif kepada pergerakan domestik yang lebih perlahan.
“Walaupun trafik penumpang akan berubah mengikut pasaran dan tempoh tertentu, fokus kami kekal kepada usaha memperkukuh kesalinghubungan serta memastikan lapangan terbang kami bersedia untuk memenuhi perubahan dalam permintaan perjalanan.
“Pada masa yang sama, kami terus menambah baik pengalaman perjalanan penumpang di seluruh rangkaian kami. Penambahbaikan ini bersama penambahan perkhidmatan syarikat penerbangan baharu, adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadikan lapangan terbang kami lebih mudah dan selesa,” katanya.
Dari segi kesalinghubungan, Malaysia Airports memaklumkan AirBorneo memulakan perkhidmatan terus dua kali sehari dari Kuching ke Kuala Lumpur pada 20 Julai dan perkhidmatan harian dari Kuching ke Singapura pada 22 Julai, diikuti Riyadh Air yang melancarkan perkhidmatan terus tiga kali seminggu dari Riyadh ke Kuala Lumpur pada 31 Julai.
Selain KLIA, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu terus meningkatkan trafik antarabangsanya susulan pelancaran perkhidmatan Kota Bharu-Jakarta pada Jun, dengan pergerakan penumpang antarabangsa di lapangan terbang itu naik 54.1 peratus bulan ke bulan kepada lebih 6,200 penumpang pada Julai.
“Di seluruh kumpulan, trafik penumpang mencapai 12.8 juta pada Julai 2026. Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen merekodkan 4.9 juta penumpang pada bulan berkenaan, meningkat 14.2 peratus berbanding Jun dan 9.6 peratus tahun ke tahun.
“Bagi tempoh Januari hingga Julai, kumpulan itu mengendalikan 87.7 juta penumpang, iaitu meningkat 2.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025,” tambahnya.
-- BERNAMA