Seorang guru yang ditahan berhubung parti liar di sebuah pangsapuri di sini, pada pagi Hari Kebangsaan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa atas dua tuduhan memiliki dadah.

Farid Abdullah, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rahni Kartini Abd Rahim.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Farid didakwa memiliki dadah jenis Nimetazepam (Erimin) seberat 1.55 gram dan dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (Ekstasi) seberat 0.74 gram di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, di sini pada 3.30 pagi, 31 Ogos lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Oktober untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang guru sekolah rendah ditahan di sebuah rumah berhubung parti liar pada pagi Hari Kemerdekaan.

-- BERNAMA