PAS mengamalkan keterbukaan dalam soal pemilihan pucuk pimpinan parti dan itu bermakna sesiapa sahaja boleh dicalonkan.

Menurut pemangku Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh, ahli yang mencadangkan seseorang calon untuk bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden adalah berdasarkan asas orang berkenaan layak untuk meneruskan dan mendokong kepimpinan dalam menegakkan Islam.

Justeru itu, beliau menafikan pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kali ini hanya tertumpu kepada golongan ulama dan mengenepikan golongan profesional.

“Dalam parti ini, mereka calonkan sesiapa sahaja yang boleh meneruskan legasi perjuangan syariat Allah sama ada alim ulama, profesional mahupun aktivitis. Saya tidak suka sebut (mengasingkan) ini golongan ulama, ini golongan professional,” ujar Nik Muhammad Zawawi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan di sini semalam.

Sebelum ini bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang mengesahkan akan bertanding dalam perebutan jawatan Presiden parti itu pada pemilihan parti itu awal bulan depan.

Keputusan itu diambil selepas menerima pencalonan jawatan tertinggi parti dan berfikir panjang untuk menerimanya.

Selain itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan itu nanti.

Mengumumkan di laman Facebook, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaannya mencabar penyandang sedia ada, Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan Mat Sabu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Nik Muhammad Zawawi menyarankan supaya penasihat DAP, Lim Kit Siang memohon maaf kepada PAS dan rakyat Kelantan berhubung kenyataannya yang mempertikaikan pelaksanaan hudud semasa menyampaikan ceramahnya di Kelantan 10 Mei lepas.

“Itupun kalau dia bermoral, iaitu bermakna dia menghormati parti lain dan ada prinsip bekerjasama. Memang dia kena minta maaf dengan ahli PAS,” ujar beliau.

Tindakan Kit Siang yang mempertikaikan hasrat PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud di Kelantan menimbulkan rasa kurang selesa pimpinan PAS termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din.