Pas hari ini membuat tiga laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dengan penyelewengan yang membabitkan Borang 14 pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.

Laporan itu berikutan kekecewaan Pas atas pengendalian Borang 14 yang didakwa mereka tidak diisi dengan betul, dan ada yang tidak diisi langsung.

Menurut Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu, Pas dan Pakatan telah membawa kes tersebut ke mahkamah namun mereka kecewa dengan cara pengendalian terhadap Borang 14.

“Maka kita buat laporan polis tentang apa yang disebut perkara dibawah jenayah Borang 14,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Laporan-laporan tersebut dibuat oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub untuk Parlimen Pulai, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad untuk Parlimen Kuala Selangor serta Pengerusi Jabatan Hak Asasi Manusia (Juham) Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi untuk Parlimen Titiwangsa.

Jelas Mohamad, laporan tersebut dibuat apabila mahkamah mengatakan pemalsuan pengisian Borang 14 merupakan satu kesalahan jenayah.

"Atas alasan jenayah kita tampil membuat laporan polis dan berharap perkara ini akan disiasat oleh pihak polis," katanyasnya.

Sementara itu Pengerusi Lajnah Undang-undang Pas, Mohamed Hanipa Maidin memberitahu mahkamah telah menolak kesalahan yang dikemukakan Pas berhubung Borang 14 atas alasan mereka tidak mempunyai kuasa untuk mendengar aduan mengenai kesalahan tersebut.

Katanya laporan tersebut membabitkan pelanggaran Seksyen 4(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mengenai pemalsuan pengisian di dalam Borang 14 yang dibuat oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Menurutnya, beberapa siri laporan polis akan turut dibuat PAS terhadap kawasan yang terlibat dalam petisyen pilihan raya sebelum ini di mana kesemuanya ditolak pendengaran kes oleh mahkamah, dan ini merupakan laporan polis yang pertama untuk kesalahan tersebut.

"Pihak peguam akan sentiasa berhubung dengan pihak polis bagi mengetahui perkembangan lanjut berkenaan dengan laporan yang telah dibuat ini, kita mahu ia disiasat denga adilm," kata Hanipa yang juga Anggota Parlimen Sepang.

Selain itu, satu memorandum juga akan diserahkan Yang DiPertuan Agong berkaitan SPR, kedudukan Pengerusi SPR serta kesalahan-kesalahan pilihan raya.

Pada awal Ogos, Pas telah mengumumkan akan membuat laporan polis besar-besaran di seluruh negara berikutan tindakan Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen yang dikemukakan parti itu.

Menurut mereka, laporan itu akan dilakukan secepat mungkin khususnya di tempat di mana petisyen-petisyen dikemukakan.