PAS berharap pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar bulan depan hanya menyaksikan pertandingan satu lawan satu iaitu di antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pertandingan tiga penjuru tidak sepatutnya berlaku.

"Kalau tiga penjuru kita akan hadapi, kalau boleh kita akan lawan satu lawan satu dengan BN.

"Kalau berlaku pertandingan tiga penjuru mungkin rakyat kecewa dan kita tetap akan lawan kerana kerusi ini kerusi tradisi PAS, tidak sepatutnya berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PAS di padang Bukit Chandan berhampiran markas PAS Kuala Kangsar di sini malam tadi.

PRK Kuala Kangsar mungkin menyaksikan pertandingan lebih daripada satu lawan satu apabila Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengumumkan calonnya pada 1 Jun, sementara BN akan membuat pengumuman nama calon petang ini.

Mengenai calon PAS untuk PRK Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad, Tuan Ibrahim berkata pihaknya yakin Ketua Dewan Muslimat PAS Perak itu mampu memenangi kerusi Parlimen itu.

"Tiada isu calon luar, yang penting dia duduk di sini, tidak guna calon tempatan kalau tinggal di Kuala Lumpur," katanya.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majority 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.