Kerajaan Kelantan yang diterajui PAS boleh membuktikan pelaksanaan hukum hudud merupakan benar-benar kehendak rakyat negeri itu dengan mendapatkan pungutan suara atau referendum, kata Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Ahmad Syukri Ab Razab.

Ahmad Syukri berkata jika Referendum tersebut boleh Kerajaan PAS Kelantan bukan sahaja akan menjadi contoh kepada Kerajaan Negeri lain, tetapi juga kepada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, melalui sistem referendum ini, rakyat akan membuat pilihan merentasi batas fahaman politik dan bersatu demi kepentingan negeri.

"Hal ini akan menjadikan Kerajaan PAS Kelantan sebagai pencetus kepada sebuah sistem demokrasi yang benar-benar berteraskan nilai dan menjulang kuasa rakyat.

"Dengan kapasiti 918, 573 orang pengundi berdaftar, adalah tidak mustahil untuk Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan Referendum Rakyat yang akan menjadi sejarah baru dalam sistem demokrasi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak boleh dijadikan hujah untuk kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut.

Katanya, keputusan PRU13 yang lalu menunjukkan hanya 44 peratus rakyat Kelantan memberi undi mereka kepada PAS hingga boleh membentuk kerajaan di negeri itu.

"Undi keseluruhan yang diperolehi oleh PAS di Kelantan adalah 44 % daripada jumlah keseluruhan pengundi yang berdaftar iaitu sebanyak 400,238 orang, diikuti oleh BN 37% dan PKR 2%.

"44% ini merupakan angka signifikan yang menunjukkan tidak sampai separuh rakyat Kelantan yang berdaftar sebagai pengundi memberi undi kepada PAS.

"Untuk mendakwa majoriti rakyat Kelantan menyokong PAS, maka PAS perlu mendapat sekurang-kurangnya 465,000 undi," jelas beliau.

Katanya, jika kerajaan PAS Kelantan tidak perlu takut untuk melaksanakan referendum kerana rakyat negeri itu telah sekian lama dididik dengan nilai Tarbiah Islam.

Malah katanya, setelah bertahun ditarbiahkan tidak mengejutkan sekiranya lebih 465,000 rakyat Kelantan menyatakan sokongan terhadap perlaksanaan hudud.

Ahmad Syukri berkata, melalui sistem referendum ini Kerajaan PAS Kelantan perlu menjadikan 51% pilihan pengundi sebagai penentu keputusan mengenai pelaksanaan hudud.

"Sekiranya referendum ini gagal mendapat sokongan 51% pengundi Kelantan, maka ini menjadi indikator yang menunjukkan rakyat Kelantan masih belum bersedia untuk menerima perlaksanaan Hudud ekoran faktor ketidakfahaman mengenai hudud mahupun faktor-faktor lain," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri berkata Kerajaan PAS Kelantan tidak perlu sedih sekiranya rakyat Kelantan menolak perlaksanaan hudud dalam referendum yang dijalankan.

Katanya jika keputusan referendum itu menunjukkan rakyat Kelantan menolak hudud ia memberi petunjuk bahawa rakyat Kelantan mengharapkan lebih penjelasan mengenai Hudud.

"Mungkin juga rakyat Kelantan melihat ada perkara perkara lain yang lebih perlu diutamakan oleh Kerajaan PAS Kelantan berbanding perlaksanaan hudud.

"Saya juga yakin sekiranya Kerajaan PAS Kelantan terus melaksanakan hudud tanpa membuka ruang untuk rakyat membuat pilihan, maka tidak mustahil rakyat akan menterjemahkan protes dalam PRU14 yang akan datang.

"Saya berpendirian, lebih baik rakyat tolak perlaksanaan hudud dalam referendum daripada rakyat tolak PAS dalam PRU14," katanya lagi.