KUALA LUMPUR: Pas, selain masuk politik, juga merupakan parti tarbiyah, mendidik orang.

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, parti itu sejak dari dahulu menggerakkan usaha untuk rakyat Malaysia faham politik Islam.

Menurutnya, selagi rakyat tidak faham politik Islam, mereka akan bergantung kepada hal duniawi seperti prestasi Ringgit Malaysia, ekonomi dan kos sara hidup.

“Itu semua bila mati, semua habis…tutup setakat mati. Kita (Pas) nak bawa selepas itu, selepas mati lagi. Dalam kubur, ada soalan, di Padang Mahsyar ada soalan dan timbangan.

“Nak lalu Titian Sirat, ada persoalan…masuk syurga, neraka. Pas pergi jauh. Sebab itu nak baca Pas daripada pemahaman politik Shahril dan KJ, tak sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Keluar Sekejap pada Selasa yang menampilkan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan Sufian sebagai hos.

Tambah beliau, Pas tidak boleh dinilai daripada pemikiran kontemporari kerana Pas keluar daripada sentimen begitu.

“Pas melangkaui kehidupan atas dunia. Pas bawa orang bagaimana jawab soalan dalam kubur, di Padang Mahsyar. Semua itu akan ditanya.

“Di kubur tanya, di Mahsyar nanti tanya lagi. Nak nilai Pas dengan pemahaman politik UMNO, Bersatu, DAP…ini politik (politik Islam) yang kami faham, yang belajar di kuliah.

“Siapa dapat apa, bila dan bagaimana politik. Pas tidak. Pas menguruskan kehidupan manusia dunia dan akhirat,” ujarnya.