KUALA TERENGGANU: Pas memohon kerajaan segera mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menghormati hak mahkamah untuk membuat keputusan namun perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam.

Katanya, isu berkenaan telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Islam.

"Bagi kita ialah undang-undang tidak melihat kepada sentimen undang-undang, soal emosi atau sentimen. Oleh kerana itu kita tengok reaksi dalam kalangan masyarakat Islam sangat serius isu ini dan sebab itu kita minta kerajaan segera buat rayuan terhadap keputusan mahkamah supaya kita dapat semak kembali keputusan tersebut.

"Harapan kita isu ini tidak perlu kita jadikan satu isu yang boleh menimbulkan polemik peraturan mahkamah. Kita hormati (keputusan) tetapi prosedur yang ada kita gunakan sepenuhnya," katanya ketika diminta mengulas keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian, di sini hari ini.

BACA: Sesiapa pun tidak harus dilarang guna perkataan Allah, namun ada sempadan - Abdul Hadi

BACA: Penganut Kristian boleh guna kalimah 'Allah'

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab yang lain iaitu baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Ia susulan keputusan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Kalimah Allah | Masih awal ulas keputusan mahkamah - Dr Zulkifli