KUALA LUMPUR : Pas menyambut baik pandangan UMNO bahawa tiada keperluan untuk mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas berpendapat, langkah tersebut adalah tepat memandangkan fokus kerajaan ketika ini adalah memerangi wabak COVID-19 yang masih belum reda.

“Pas berpandangan fokus seluruh jentera kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri adalah bagi memerangi wabak COVID-19.

“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini bukan sahaja aspek kesihatan tetapi juga aspek ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pas dalam masa sama menyeru semua pihak terutamanya parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) agar secara bersama membantu kerajaan dalam menumpukan isu COVID-19.

Kata beliau, semua pihak juga haruslah mengelak daripada membincangkan isu-isu yang mampu mencetuskan ketegangan dan keburukan pada tahap maksimum.

Takiyuddin dalam pada itu percaya bahawa kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah proaktif dalam memerangi wabak.

Pada Ahad, Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tiada keperluan UMNO untuk mendesak kerajaan untuk mengadakan PRU15 dalam masa terdekat ketika negara berdepan krisis kesihatan.