Pas berpendirian tegas menolak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) dari diperkenalkan kembali oleh kerajaan sebagai jawapan terhadap penyelesaian krisis jenayah tembakan yang semakin berleluasa.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan pengenalan semula kedua-dua undang-undang tersebut bukanlah jawapan kepada krisis itu kerana kedua-duanya bersifat zalim, mudah disalahgunakan untuk tujuan lain dan ianya tidak adil dari sudut Islam.

“Oleh itu, kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyambut baik cadangan pengenalan semula kedua-dua undang-undang yang telah dimansuhkan itu menggunakan alasan kerana peningkatan kadar jenayah berat setiap hari adalah sukar untuk diterima,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau mempersoalkan adakah Datuk Seri Shafie mempunyai data statistik ketika membuat kenyataan itu dan berapa ramaikah jumlah tahanan ISA yang ditahan kerana pemilikan senjata api secara haram.

“Rakyat sudah pasti akan ingat semula Operasi Lalang 1987 dimana ISA telah digunakan sewenang-wenangnya pada ahli-ahli politik pembangkang yang tidak melakukan apa-apa jenayah,” katanya lagi.

Malah cadangan mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Rahim Noor yang menyarankan supaya undang-undang tahanan iaitu Ordinan Darurat (EO) sepertilah juga mempunyai pandangan yang sama seperti Datuk Seri Shafie dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Mereka ini begitu mempercayai dakwaan bahawa peratusan besar jenayah yang berlaku sejak kebelakangan ini banyak melibatkan bekas tahanan EO yang telah dibebaskan. Seandainya benar, bekas-bekas tahanan EO ini yang melakukan jenayah-jenayah berat ini, sudah tentu polis boleh menahan mereka di bawah Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan melakukan pembunuhan menggunakan senjata api,” kata Tuan Ibrahim.

Polis perlu menyiasat segala kemungkinan yang menyebabkan senjata api jatuh ke pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita percaya penjenayah bersenjata api ini mendapat bekalan senjata melalui sindiket haram akibat lolosnya pemeriksaan di pintu-pintu masuk ke negara dan kita menggesa semua pihak berkuasa agar dapat bekerjasama dan mencari jalan yang lebih efisyen untuk mencegah penyeludupan senjata api ke dalam negara,” katanya lagi.