KUANTAN: Sepasang remaja mengaku salah di Mahkamah Khas Trafik Kuantan pada Jumaat atas tuduhan melakukan aksi 'wheelie' semasa menunggang motosikal pada 12 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua remaja berusia 17 tahun itu dibuat di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki tersebut yang bekerja di sebuah pusat mencuci kenderaan, didakwa menunggang motosikal jenis Honda berwarna putih dengan cara mengangkat tayar hadapan yang berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di jalan Chendor, Kuantan, Pahang menghala ke Kemaman, Terengganu.

Manakala teman wanitanya pula yang masih bersekolah, dituduh membantu sebagai pembonceng pada aksi sama.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan, kedua tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 sehingga RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Nafizah Ismail manakala kedua remaja terbabit tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan mereka diikat jamin RM800 setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan 7 Jun depan untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan akhlak.

Pada 30 April lalu, tular video 54 saat di media sosial memaparkan aksi 'wheelie' membabitkan dua remaja di Jalan Chendor di sini menghala Kemaman, Terengganu.

Polis berjaya mengesan dan menahan mereka pada 1 Mei lalu.

Siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan adalah milik ibu remaja lelaki berkenaan.