PUTRAJAYA: Sepasang suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana dipercayai meminta dan menerima wang rasuah lebih RM600,000, bagi kerja-kerja pelantikan syarikat pengangkutan, untuk sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut sumber, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 50-an dan 40-an itu ditahan di kediaman mereka di Petaling Jaya kira-kira jam 7 malam, semalam.

Perintah reman selama 6 hari bermula hari ini sehingga 10 Jun 2022 dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 50-an yang berkhidmat sebagai eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disyaki meminta ‘habuan bulanan’ kira-kira RM20,000 sebagai balasan melantik sebuah syarikat pengangkutan bagi penghantaran produk berasaskan minyak ke seluruh negara untuk tempoh antara Julai 2019 hingga April 2022.

“Difahamkan, isteri suspek berusia 40-an dipercayai bersubahat bersama suaminya untuk meminta dan menerima bagi pihak suaminya.

"Isteri suspek juga dipercayai mempunyai kawalan ke atas kad debit milik syarikat pengangkutan terbabit di mana pemilik syarikat tersebut terlibat dalam urusan rasmi dengan suami suspek,” katanya.

Sumber berkata, eksekutif kanan itu juga telah digantung tugas di syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan suami isteri tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.