KUANTAN: Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh dan terbakar dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran stesen minyak Taman Tualang Indah, Temerloh, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Nasyim Bahron berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 12.55 tengah malam.
Advertisement
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Preve yang dinaiki pasangan berumur 34 dan 35 tahun dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan itu telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Porsche Cayenne.
“Akibat pelanggaran itu kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan kiri dan Proton Preve berkenaan terbakar menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu SUV berusia 28 tahun hanya mengalami kecederaan luka di tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua kenderaan terbabit akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut, manakala sampel darah dan air kencing pemandu SUV telah diambil bagi tujuan analisis toksikologi.
Mohd Nasyim berkata bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Temerloh hari ini, selain pemandu SUV telah direman empat hari hingga 17 Feb bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian,” katanya.
-- BERNAMA