KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah sedikit pada Selasa seiring dengan penurunan di pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah yang kukuh, kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun turun hari ini apabila perang harga dan lambakan penawaran kereta menjejaskan sentimen pelabur dan ditambah lagi dengan pengukuhan yen.

Sementara itu, penanda aras harga minyak mentah Brent meningkat kukuh pada Selasa selepas turun pada sesi dagangan sebelumnya ketika pelabur terus menilai risiko daripada kebimbangan geopolitik di Timur Tengah.

Pada ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent naik kira-kira 0.7 sen kepada US$87 setong.

"Data ekonomi China yang lemah dan kekukuhan ringgit berbanding dolar AS turut memberi kesan kepada sentimen pasaran," katanya kepada Bernama.

Menurut Kementerian Kewangan China pada Isnin, hasil fiskalnya pada suku pertama susut 2.3 peratus daripada tahun sebelumnya. Hasil cukai China turun 4.9 peratus kepada 4.9 trilion yuan (US$676.48 bilion) dalam tempoh tiga bulan pertama.

Peniaga itu berkata, penurunan selanjutnya pasaran getah dikekang oleh prospek getah asli yang menggalakkan, seperti yang dilaporkan oleh Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC).

Beliau berkata prospek bekalan global bagi getah asli dijangka positif, mencecah 14.542 juta tan pada 2024 dan permintaan global bagi 2024 diselaraskan sedikit menurun kepada 15.670 juta tan bagi mencerminkan kadar pertumbuhan tiga peratus.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) turun 0.5 sen kepada 764.5 sen sekilogram, manakala harga susu getah pukal susut tiga sen kepada 721.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan MRB bagi SMR 20 fizikal berada pada 762 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 717 sen sekilogram.

-- BERNAMA